KUCHING : Sebanyak tujuh premis terdiri daripada kedai runcit yang disyaki terlibat dalam kegiatan judi tanpa lesen di sekitar Kuching dipotong bekalan elektrik, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Awang Din Awang Gani berkata, operasi itu dibuat di premis yang didapati menjalankan aktiviti perjudian tanpa lesen dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuching dengan Sarawak Energy Berhad (SESCO) itu dijalankan di sekitar 9.00 pagi hingga 1.30 petang.
“Mengikut Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953, polis boleh membuat permintaan untuk pemotongan elektrik jika mempunyai alasan yang munasabah premis itu menjalankan sebarang aktviti perjudian,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Tegasnya, amaran keras kepada pengusaha berkaitan supaya tidak menjalankan sebarang aktiviti perjudian tanpa lesen memandangkan pihak polis akan mengambil tindakan seperti mana Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan akan melaksanakan Akta Pencegahan Jenayah 1959 ke atas mereka yang terlibat.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, dalam tempoh tiga hari dari 19 hingga 21 Julai lalu, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuching berjaya membuat empat serbuan ke atas premis perjudian ini dan siasatan dijalankan dibawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang mana memperuntukkan denda RM5,000 hingga RM50,000 dan hukuman penjara hingga tiga tahun jika sabit kesalahan dengan semua suspek yang ditahan direman dan masih dalam siasatan pihak polis.
Oleh Zarina Abdullah