
MARUDI: Lily Jugoh dinobatkan gelaran Ibu Anggun 2025 apabila beliau berjaya mengalahkan 11 peserta lain dalam pertandingan Ibu Anggun sempena Hari Ibu anjuran Serakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Cawangan Marudi di Auditorium Dewan Suarah Marudi malam tadi.
Lily, 38, berbangsa Iban, dari Kampung Pemindahan Marudi mempunyai tiga cahaya mata bekerja sebagai jururawat di Hospital Marudi membawa hadiah wang tunai, selempang, sejambak bunga, trofi dan sijil penyertaan.
Naib johan disandang oleh Norehan Zainal, 34, seorang suri rumah dari Kampung Dato Zen Galau Marudi, berbangsa Kiput dan mempunyai seorang anak.

Beliau membawa hadiah wang tunai RM600, selempang, sejambak bunga, trofi dan sijil penyertaan.
Sementara tempat ketiga dimenangi Hie Lay Ching, 53, berbangsa Cina beralamat dari Jalan Kapitan Aba, Marudi dan mempunyai empat orang anak.
Hie seorang usahawan kuih-muih membawa hadiah wang tunai RM400, selempang, sejambak bunga, trofi dan sijil penyertaan.
Sementara itu ‘Cat Walk Terbaik’ dimenangi Lily Jugoh yang membawa hadiah wang tunai RM250 manakala ‘Kebaya Terbaik’ disandang Norehan Zainal yang juga membawa hadiah wang tunai RM250.
Manakala sembilan peserta lain masing-masing menerima sagu hati RM200 dan penyampaian anugerah Tokoh Wanita SIDS Marudi sempena Hari Ibu dianugerahkan kepada Pegawai Daerah Marudi, Rose Edward Tarang.
Dalam pada itu ketika menyempurnakan majlis perasmian Hari Ibu 2025, bertemakan ‘Queen Of Our Heart’, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Pemantauan Buruh, Imigresen dan Projek) Datuk Gerawat Gala mengucapkan syabas kepada SIDS Marudi kerana telah berjaya menganjurkan majlis tersebut dan terus memainkan peranan penting membangun dan memperkasakan wanita dan masyarakat Marudi.
Katanya peranan seorang ibu dan wanita pada zaman sekarang jauh berbeza daripada peranan mereka sebagai pengurus rumah tangga dan keluarga.
Tambah beliau kasih sayang seorang ibu yang sempurna dan tidak terbatas sedia berkorban nyawa untuk membela anak-anak dan keluarga.
“Peranan utama seorang ibu dalam keluarga ialah untuk menjaga, membesar dan mendidik,” tegasnya.
Beliau berkata, ramai wanita atau ibu pada masa sekarang sudah berjaya menjadi pemimpin kanan dan pemimpin unggul dalam semua bidang termasuk bidang awam dan swasta yang profesional.
Turut berucap Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Penguang Manggil dan Pengerusi SIDS Pampang Marudi, Kaunselor Yanti Nyanggau.
Dianggarkan lebih 500 warga Marudi dari rumah panjang hadir pada majlis tersebut.
Pada majlis itu Gerawat mengumumkan RM15,000 Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP), manakala Datuk Penguang turut menyumbang RM10,000 untuk SIDS Marudi.
Oleh Jiku Juguong