
KOTA SAMARAHAN: Majlis Tilawah al-Quran merupakan platform penting dalam memperkukuh keimanan serta memperluas kefahaman umat Islam terhadap ajaran al-Quran.
Menurut Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato Idris Buang, setiap peserta yang menyertai majlis seperti itu sebenarnya bukan sekadar bertanding tetapi turut mendapat ganjaran pahala dan keberkatan.

“Majlis seperti ini bukan hanya memartabatkan seni bacaan al-Quran, tetapi mengingatkan kita akan tanggungjawab untuk kembali kepada ajaran Islam yang sebenar dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian.
“Golongan muda digalakkan untuk mendalami ilmu al-Quran sebagai panduan kehidupan dalam membuat keputusan serta jalan menuju kerahmatan dan keselamatan dunia akhirat.
“Contohnya surah al-Fatihah yang kita baca setiap hari, jika difahami dengan sebenar, ia memberi kesan mendalam kepada cara kita melihat kehidupan. Sama juga dengan surah yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan penutupan majlis Tilawah al-Quran Peringkat Daerah Samarahan yang berlangsung di Masjid Darul Istiqamah, semalam.
Majlis turut menyaksikan pengumuman johan bagi kategori Qari dimenangi Ismawi Ibrahim, manakala naib johan dan tempat ketiga masing-masing dimenangi Muhd Hafisz Shafie dan Muhd Syahaziamir Sahmat.
Bagi kategori Qariah, Nadhirah Khaliqah Kasturi muncul sebagai johan, manakala Manisha Azyan Allilah Azman dan Nurul Sabariah Saini masing-masing meraih tempat kedua dan ketiga.
Oleh Masrin Affirah