Tiang terus berkhidmat kepada rakyat Pelawan walaupun DUN dibubarkan

Facebook
WhatsApp
UNTUK RAKYAT.....Tiang menyerahkan Cek UNIFOR kepada Pengerusi Lembaga Sekolah SJK (C) Guong Ann, Penghulu Ting Tien Huat.

SIBU, 25 Oktober: Pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelawan akan terus beroperasi bagi memastikan kebajikan dan keperluan penduduk di kawasan itu terus diberi perhatian walaupun Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.

ADUN Pelawan, Datuk Michael Ming Tee berkata, tanggungjawab untuk berkhidmat kepada rakyat tidak terhenti dengan pembubaran DUN, sebaliknya pelbagai isu masyarakat, infrastruktur dan kemudahan awam masih perlu ditangani.

Menurutnya, pusat khidmat berkenaan kekal dibuka kepada orang ramai yang memerlukan bantuan, termasuk berkaitan isu teknikal tempat letak kereta Majlis Perbandaran Sibu (MPS).

“Walaupun DUN dibubarkan, kami akan terus berkhidmat kepada rakyat. Semua orang dialu-alukan untuk datang ke pusat khidmat sekiranya mempunyai sebarang masalah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan Cek Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) SJK (C) Nang Sang dan Lembaga SJK (C) Guong Ann di pejabat pusat khidmatnya, pagi ini.

Menurutnya, pusat khidmat beroperasi dari Isnin hingga Jumaat, bermula 8.30 pagi hingga 12.00 tengah hari dan disambung semula pada 1.30 petang hingga 4.00 petang.

“Pada Sabtu, pusat khidmat ini dibuka dari 8.30 pagi hingga 12.00 tengah hari, manakala Ahad dan cuti umum adalah hari tidak beroperasi,” ujarnya.

Tiang turut merakamkan penghargaan kepada penduduk Pelawan dan Sibu atas kepercayaan, nasihat, pandangan serta kritikan yang diberikan sepanjang lima tahun beliau berkhidmat sebagai wakil rakyat.

“Semua maklum balas itu banyak membantu membentuk saya sebagai individu dan pemimpin, selain memberi pengalaman berharga dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri),” ujarnya.

“Saya mengakui tidak semua perkara dapat dilaksanakan dengan sempurna, namun saya akan meneruskan komitmen untuk terus menjalankan tanggungjawab kepada masyarakat,” tegasnya.

Beliau berharap dapat terus memainkan peranan dalam pembangunan Sarawak, khususnya ketika negeri ini sedang melalui transformasi ekonomi yang merangkumi ekonomi hijau dan tenaga mampan.

Menurutnya, perkembangan berkenaan membuka peluang baharu kepada Sarawak untuk mencapai tahap pembangunan lebih tinggi, selain memastikan rakyat mendapat manfaat daripada kemajuan negeri.

Tiang yang juga Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut menyatakan penghargaan terhadap peranan UNIFOR dalam memperluas bantuan kewangan kepada pelbagai institusi keagamaan, termasuk gereja tempatan, tokong, sekolah mubaligh dan kumpulan agama minoriti.

Katanya, keterbukaan UNIFOR membantu pelbagai rumah ibadat, termasuk institusi kecil dan gereja bebas, memastikan bantuan tidak hanya tertumpu kepada organisasi keagamaan yang besar.

“Selagi mereka memenuhi kriteria, mematuhi syarat dan prosedur serta mengemukakan permohonan, mereka berpeluang mendapatkan bantuan melalui UNIFOR,” katanya.

Beliau menyifatkan pendekatan inklusif itu sebagai penting bagi memastikan pelbagai komuniti agama di Sarawak mendapat perhatian dan sokongan sewajarnya.

Oleh Akun Giman

JCI perkasa bakat, kepimpinan generasi muda

SIBU, 25 Oktober: Penglibatan golongan muda dalam organisasi seperti Junior Chamber International (JCI) penting bagi melahirkan pemimpin masa depan yang