BELURU, 25 Oktober: Sebanyak 58 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di daerah ini menerima peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM560,000.
Penyerahan cek peruntukan tersebut disempurnakan Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Penguang Manggil, semalam.
Penyerahan itu diadakan sebelum beliau menghadiri Majlis Sambutan Ulang Tahun Jubli Mutiara Ke-36 Rumah Abol di Kampung Mulong Ulu Teru, yang dimeriahkan dengan kehadiran kira-kira 1,300 tetamu.
Majlis berkenaan dianjurkan bersama oleh JKKK Lubok Mulong, kumpulan anak muda Rumah Abol yang dikenali sebagai The Mulong’s Youngsters dan Pejabat Daerah Beluru.
Berucap pada majlis tersebut, Penguang menekankan kepentingan kerjasama erat antara pemimpin komuniti dengan golongan muda bagi memastikan pembangunan masyarakat dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
Menurutnya, penglibatan aktif semua pihak amat penting dalam mengenal pasti keperluan serta aspirasi masyarakat setempat.
“Kita perlu sentiasa berusaha untuk mengenal pasti keperluan serta aspirasi setiap pihak bagi memastikan usaha membangunkan komuniti dapat dilaksanakan demi manfaat semua,” katanya.
Beliau turut menzahirkan tahniah kepada golongan muda Rumah Abol atas kejayaan menganjurkan sambutan berkenaan dengan meriah.
Turut hadir, Ahli Parlimen Baram, Dato Anyi Ngau; Residen Bahagian Miri, Galong Luang; Pegawai Daerah Beluru, Charles Aloysius Lisu; Pegawai Daerah Marudi, Rose Edward Tarang; Pegawai Daerah Telang Usan, Ezra Uda; serta Pengerusi Majlis Daerah Marudi, Kaunselor Edward Mendai.
Oleh Jiku Juguong




