MIRI, 25 Oktober: Seramai 2,575 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dari 11 sekolah di sekitar Miri menerima sumbangan alat tulis daripada Pusat Khidmat Rakyat Parlimen P.219 Miri sebagai persediaan menghadapi peperiksaan.
Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man berkata, sumbangan itu bertujuan memberikan sokongan dan galakan kepada calon yang bakal menduduki peperiksaan berkenaan.
Beliau berkata, sepanjang minggu ini, beliau telah mengadakan lawatan ke lima sekolah, iaitu Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang, SMK Chung Hua Miri, SMK Baru, SMK Pujut dan SMK Lutong, bagi bertemu pelajar serta menyampaikan kata-kata semangat.
Menurutnya, sumbangan berkenaan diharap dapat membantu memenuhi keperluan alat tulis, selain menyuntik motivasi kepada pelajar untuk terus berusaha mencapai keputusan terbaik.
“Tempoh persediaan menghadapi peperiksaan bukan sekadar tentang keputusan yang akan diperoleh, tetapi turut membentuk jati diri dan ketabahan dalam menghadapi cabaran pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Chiew turut mengingatkan calon supaya terus memberikan tumpuan kepada persediaan peperiksaan meskipun masa semakin suntuk, di samping memastikan kesihatan diri sentiasa terjaga.
Beliau turut menasihati pelajar agar menjaga pemakanan, minum air secukupnya dan berdoa supaya dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan tenang serta selesa.
Beliau berharap semua calon SPM dan STPM dapat memberikan yang terbaik dengan berpegang pada prinsip berdoa, berusaha dan bertawakal.
Oleh Liong Chai Ling




