
SIMANGGANG: Pertandingan Badminton Berpasukan Sri Aman 2025 anjuran Simanggang Badminton Club (SBC) boleh dijadikan sebagai landasan mencungkil bakat baharu dalam kalangan pemain-pemain dari Bahagian Sri Aman.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata penganjuran pertandingan itu boleh dinaik taraf ke peringkat lebih tinggi dalam usaha melahirkan pemain-pemain dalam daerah ini yang berkualiti.
Katanya, pertandingan itu juga harus diperluaskan ke bahagian-bahagian lain negeri ini dalam usaha mencari pemain-pemain yang berbakat.
Justeru, inisiatif menganjurkan pertandingan ini sangat tepat dan sudah tiba masanya kita mencari pemain-pemain dari kalangan belia dari kawasan Bahagian Sri Aman berbakat untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
“Ini supaya akan ada wakil pemain dari bahagian ini menjadi pemain ke peringkat negeri dan antarabangsa sekali gus mengharumkan nama Bahagian Sri Aman amnya,” katanya semasa merasmikan Pertandingan Badminton Berpasukan Sri Aman 2025 bertempat di Dewan Tertutup Kompleks Sukan Sri Aman, hari ini.
Sehubungan itu, Dayang Noorazah memuji usaha kelab-kelab badminton di daerah ini kerana membuat inisiatif menganjurkan pertandingan seumpama itu.
“Saya berharap pertandingan ini dapat dianjurkan dengan lebih besar dan meriah pada masa akan datang dengan menjemput jaguh-jaguh pemain badminton dari bahagian lain untuk menyertainya nanti,” jelas beliau.
Turut hadir Presiden Kelab Badminton Simanggang, Tay Buan Boon, Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sri Aman, Sazali Dillah dan Temenggong Kueh Aik Seng.
Oleh Adi Safarman