Sampah berselerakan cemari kawasan Tamu Hujung Minggu Centre Point

Facebook
WhatsApp
SELONGKAR...Beberapa individu dilihat menyelongkar tong sampah di kawasan Tamu Hujung Minggu Centre Point, Miri.

MIRI, 25 Oktober: Sampah yang bertaburan di sekitar tong sampah di kawasan Tamu Hujung Minggu Centre Point, di sini, menimbulkan masalah kebersihan dan menyebabkan persekitaran kelihatan tidak terurus.

Tinjauan mendapati beberapa individu menyelongkar tong sampah untuk mencari barangan yang masih boleh digunakan atau dikitar semula.

Bagaimanapun, tindakan mengeluarkan pelbagai bahan buangan dari tong sampah dan membiarkannya berselerakan di atas jalan serta kawasan sekitarnya menjejaskan kebersihan kawasan berkenaan.

Beg plastik, kotak dan pelbagai bahan buangan lain dilihat bertaburan di sekitar tong sampah, sedangkan kawasan itu dikunjungi orang ramai pada setiap hujung minggu.

KEADAAN sampah yang berselerakan di sekitar tong sampah di Tamu Hujung Minggu Centre Point memerlukan perhatian pihak berkaitan.

Aktiviti menyelongkar tong sampah itu bukan perkara baharu dan didakwa telah lama berlaku, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai keadaan kebersihan di kawasan berkenaan.

Sehubungan itu, pihak berkaitan diharap dapat meneliti masalah berulang tersebut dan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan kawasan berkenaan sentiasa bersih serta teratur.

Orang ramai juga diseru supaya tidak membiarkan sampah berselerakan selepas menyelongkar tong sampah demi menjaga kebersihan dan imej bandar raya Miri.

Oleh Liong Chai Ling