KANO: Seorang lelaki bersenjata telah melepaskan tembakan dan menyebabkan 18 orang maut pada sebuah majlis kahwin di negeri Kaduna, utara Nigeria pada Isnin.
Memetik daripada penguasa, lelaki tersebut dipercayai menunggang motosikal dan masuk ke kampung Kukum-Daji dan seterusnya, melepaskan tembakan ke arah para tetamu yang datang.
“Lelaki terbabit menembak mati 18 individu di majlis berkenaan selain mencederakan 30 yang lain.
“Majoriti mangsa adalah lelaki muda dengan 15 daripada mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
“Tiga yang lain meninggal dunia di hospital,” kata Ketua Pentadbiran Daerah, Bege Katuka Ayuba kepada AFP.
Dalang di sebalik insiden itu masih belum dikenal pasti tetapi lokasi kejadian dipercayai menjadi kawasan konflik antara puak pengembala Muslim Fulani dan petani etnik Kristian.
Jurucakap polis, Mohamed Jalinge mengesahkan serangan tetapi enggan mengulas lebih lanjut.
“Terdapat laporan mengenai kehilangan nyawa dalam serangan berkenaan tetapi kita tidak mempunyai angka sebenar lagi,” katanya.
Difahamkan, perselisihan faham sudah lama berlaku di Kaduna membabitkan petani dan pengembala.
Ia dikatakan berpunca daripada perebutan kawasan jajahan untuk menjalankan aktiviti dan berkaitan isu bekalan air. – AFP