TOKYO, 20 Oktober: Agensi Penerokaan Aeroangkasa Jepun (JAXA) pada Selasa mengumumkan kejayaan melancarkan kapal angkasa bagi melaksanakan misi pertama seumpamanya di dunia untuk mengumpul sampel termasuk batuan dan pasir dari satu daripada Bulan planet Marikh, lapor Kyodo News.
Menurut agensi itu, prob yang dibawa menggunakan roket H3 No. 10 bagi misi Penerokaan Bulan Marikh (MMX) berjaya dipisahkan daripada roket berkenaan dan ditempatkan di orbit yang dirancang.
Roket itu dilancarkan dari Pusat Angkasa Tanegashima di Pulau Tanegashima, sebuah pulau kecil di barat daya Jepun, pada 4.41 pagi.
Kapal angkasa berkenaan menuju ke Phobos, Bulan terbesar yang mengorbit Marikh, pada jarak kira-kira 6,000 kilometer dari permukaan planet itu dan mempunyai diameter sekitar 20 hingga 30 kilometer.
Prob itu dijadualkan kembali ke Bumi bersama sampel yang dikumpulkan pada Julai 2031.
Pelancaran berkenaan pada asalnya dijadualkan berlangsung pada 2024, namun ditangguhkan susulan kegagalan penerbangan sulung roket H3 pada tahun sebelumnya.
MMX merupakan misi kerjasama antarabangsa yang bertujuan menyiasat asal usul Bulan Marikh, selain membangunkan teknologi bagi penerokaan angkasa lepas pada masa depan.
Kapal angkasa seberat 4,480 kilogram itu terdiri daripada tiga modul bagi perjalanan ke Marikh, penerokaan Phobos dan perjalanan pulang ke Bumi.
Ia dilengkapi empat kaki pendaratan dengan ketinggian kira-kira 5.3 meter dan lebar sekitar sembilan meter apabila panel solarnya dibuka sepenuhnya.
Roket H3 No. 10 yang membawa prob berkenaan menggunakan konfigurasi dua enjin dan empat penggalak, menjadikannya versi roket H3 paling berkuasa dengan keupayaan tujahan tertinggi.
Mengikut perancangan, kapal angkasa itu akan memasuki orbit Marikh pada Ogos 2027.
Sebuah kenderaan penjelajah (rover) yang dibangunkan bersama oleh pasukan Perancis dan Jerman kemudiannya akan mendarat di Phobos, sebelum kapal angkasa berkenaan melakukan dua percubaan pendaratan.
Kapal angkasa itu seterusnya akan menjalankan pemerhatian terhadap Deimos, satu lagi Bulan Marikh, sebelum meninggalkan orbit planet berkenaan pada November 2030.
Dalam perjalanan pulang ke Bumi, kapal angkasa itu akan melepaskan kapsul yang mengandungi sampel yang dikumpulkan untuk dibawa pulang dan diperiksa. – Bernama-Kyodo





