WASHINGTON, 19 Oktober: Elon Musk mengumumkan rancangan untuk memberikan satu saham dalam syarikat angkasa lepasnya, SpaceX, kepada setiap kanak-kanak di Amerika Syarikat (AS) tahun depan, dalam langkah yang boleh bernilai lebih AS$10 bilion, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Usahawan bilionair itu berkata menerusi platform media sosialnya, X, bahawa pemberian itu merupakan inisiatif pertama seumpamanya daripada “banyak lagi” yang dirancangnya, namun beliau tidak memberikan butiran mengenai pelaksanaan rancangan berkenaan.
Menurut data banci terkini AS, terdapat lebih 70 juta penduduk berusia bawah 18 tahun di negara itu.
Berdasarkan harga saham SpaceX ketika ini, pengagihan satu saham kepada setiap kanak-kanak akan menelan belanja lebih AS$10 bilion.
Majalah Forbes menganggarkan kekayaan Musk ketika ini melebihi AS$900 bilion, yang sebahagian besarnya terdiri daripada saham SpaceX dan pengeluar kereta elektrik Tesla, yang turut diterajuinya.
Pengumuman itu mungkin didorong oleh langkah syarikat kecerdasan buatan (AI) pesaing, Anthropic, pada hujung minggu lalu yang mengumumkan bahawa syarikat itu pada peringkat awal akan memperuntukkan lima peratus sahamnya kepada sebuah dana yang bertujuan memberikan manfaat kepada orang ramai.
Sebagai respons, Musk menulis kepada Anthropic menerusi X: “Saya mengesyorkan agar saham itu diberikan secara langsung kepada orang ramai.”
SpaceX ialah syarikat induk kepada syarikat kecerdasan buatan milik Musk, xAI.
Saham SpaceX melonjak pada mulanya selepas syarikat itu mula disenaraikan di pasaran saham pada Jun, namun sejak itu susut jauh daripada paras tertingginya, iaitu melebihi AS$200.
Saham itu kini didagangkan pada harga di bawah AS$150, manakala persoalan masih timbul mengenai penilaian syarikat itu yang dianggarkan sekitar AS$1.9 trilion.
Perniagaan roket SpaceX masih agak kecil berbanding penilaian pasarannya, yang sebahagian besarnya mencerminkan jangkaan pelabur terhadap kejayaan masa depan dalam bidang kecerdasan buatan seperti yang dijanjikan Musk.
Bagaimanapun, SpaceX ketika ini masih jauh ketinggalan berbanding peneraju AI, Anthropic dan OpenAI, syarikat pembangun ChatGPT. – Bernama





