KERAJAAN Sarawak melalui peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) memperuntukkan RM41,000 untuk membina sebuah gelanggang petanque bagi kegunaan sukan penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir berkata projek menaik taraf sebanyak 12 padang petanque di Pantai Tanjung Kembang itu, dijangka akan siap sepenuhnya pada tahun ini.
“Projek menaik taraf sebanyak 12 padang petanque yang telah tergendala akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana Pandemik Covid-19, kini diteruskan semula.
“Kerajaan Sarawak melalui MRP, telah meluluskan peruntukan sebanyak RM41,000 bagi membina baharu sebuah padang petanque di kawasan Pantai Tanjung Kembang.
“Sekali gus dengan adanya padang petanque baharu itu kelak, ia akan memudahkan mereka melaksanakan aktiviti di samping mencungkil bakat baharu yang boleh diketengahkan dalam sukan petanque,” katanya semasa meninjau status pelaksanaan kerja menaik taraf padang petanque di Pantai Tanjung Kembang, baru-baru ini.
Chee Kadir berkata projek bina baharu kemudahan sukan ini membuktikan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak mengabaikan rakyat.
Malah katanya lagi, kita akan sentiasa melakukan yang terbaik bagi memastikan rakyat mendapat faedahnya terutamanya kepada golongan belia di kawasan ini untuk menggalakkan mereka aktif dalam bidang sukan.
“Sehubungan itu, saya menggesa agar kemudahan ini digunakan dengan sebaik mungkin. Ia juga harus dijaga dengan sebaik-baiknya supaya dapat dimanfaatkan dalam tempoh jangka panjang.
“Saya harap pertubuhan sukan petanque di daerah ini nanti akan sentiasa berusaha untuk memperkenalkan sukan itu di peringkat komuniti selain menggalakkan penyertaan daripada pelajar sekolah dan dewasa.
“Usaha ini sangat penting kerana sukan petanque turut dipertandingkan di kejohanan berprestij seperti Sukan Malaysia (SUKMA) dan Sukan ASEAN,” ujarnya.
Chee Kadir menggesa agar masyarakat serta golongan belia di DUN Kabong seharusnya bersyukur dengan wujudnya kemudahan seperti gelanggang petanque baharu itu yang dapat memberi peluang kepada golongan belia untuk bergiat lebih aktif dalam pelbagai program kesukanan selain mengelak mereka daripada melakukan perkara tidak berfaedah.
Oleh Adi Safarman