PETRA JAYA, 22 Oktober: Sarawak bakal menjadi tumpuan pemain golf veteran Asia apabila 156 pemain amatur berusia 55 tahun ke atas dari enam negara berkumpul bagi menyertai Kejohanan Golf Senior Amatur Antarabangsa Sarawak 2026 pada hujung minggu ini (24 dan 25 Oktober).
Kejohanan yang menggunakan nama Golden Age Legends itu akan berlangsung selama dua hari di Kelab Golf Sarawak, di Kuching, dengan hadiah keseluruhan berjumlah RM22,000 ditawarkan kepada para peserta.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penganjuran sulung kejohanan itu mencerminkan usaha memperluas peluang penyertaan dalam sukan golf, khususnya dalam kalangan golongan veteran.
Beliau berkata, kejohanan berkenaan bukan sahaja membuka ruang kepada pemain berpengalaman untuk terus bergiat aktif, malah menyediakan medan persaingan sihat dalam kalangan pemain amatur dari rantau Asia.
“Penyertaan kali ini melibatkan pemain dari Malaysia, Brunei, Indonesia, Singapura, Korea Selatan dan Jepun, sekali gus memberikan dimensi antarabangsa kepada acara berkenaan.
“Penyertaan dari pelbagai negara itu turut memperlihatkan peluang Sarawak untuk terus mengembangkan peranannya sebagai destinasi penganjuran kejohanan sukan bertaraf antarabangsa,” katanya pada sidang media kejohanan berkenaan di Bangunan Baitulmakmur ii di sini hari ini.
Pertandingan akan menggunakan format 36-hole stroke play, dengan pemain bersaing berdasarkan jumlah pukulan sepanjang 36 lubang bagi menentukan kedudukan akhir.
Oleh Shahrul Qaizat




