
SARATOK: Surau Kampung Pagan yang sebelum ini dibangunkan secara berfasa, kini memasuki fasa akhir kerja-kerja naik taraf melalui peruntukan di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, projek berkenaan kini melibatkan pembinaan baharu pagar dan dataran kejat dengan peruntukan sebanyak RM100,000.
“Hari ini, kita turun padang untuk meninjau tapak projek pembinaan pagar dan dataran kejat di Surau Kampung Pagan yang telah diluluskan di bawah peruntukan RTP,” katanya.
Menurut Mohamad Duri, projek tersebut akan dilaksanakan oleh kontraktor yang telah dilantik melalui cabutan undi oleh Pejabat Residen Bahagian Betong.
“Kerja-kerja naik taraf akan bermula dalam masa terdekat. Kita mahu pastikan setiap projek RTP dilaksanakan mengikut spesifikasi dan siap mengikut jadual demi kepentingan dan keperluan rakyat,” tegasnya.
Beliau turut menekankan pentingnya pemantauan dan kerjasama antara wakil rakyat, jabatan teknikal dan agensi pelaksana agar segala isu atau cabaran berkaitan pelaksanaan dapat ditangani dengan berkesan.
“Setiap projek kerajaan mencerminkan imej kerajaan itu sendiri. Oleh itu, pelaksanaan yang cekap, telus dan berkesan amat penting agar manfaatnya sampai terus kepada rakyat,” katanya.
Turut hadir Timbalan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kalaka, Kaunselor Kasdi Pandi yang mewakili ADUN Kalaka bersama wakil agensi pelaksana Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Betong dan JKR Saratok.
Oleh Adi Safarman