Polis rampas cecair ganja bernilai RM347,520 di Kuching

Facebook
WhatsApp
POLIS merampas dadah daripada sindiket.

KUCHING, 23 Oktober: Polis Kuching menahan dua wanita dan merampas 724 kartrij yang disyaki mengandungi cecair ganja bernilai RM347,520 dalam satu operasi membanteras sindiket pengedaran dadah di bandar raya ini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu berkata kedua-dua suspek, masing-masing seorang wanita tempatan berusia 29 tahun dan seorang wanita warga asing berusia 25 tahun, ditahan di sebuah kediaman di Jalan Wan Alwi.

Polis turut merampas wang tunai berjumlah RM5,087 serta SG$67 (RM214.16) yang disyaki hasil daripada aktiviti pengedaran dadah.

“Sindiket ini dipercayai aktif sejak Ogos tahun ini dan menggunakan aplikasi komunikasi digital untuk berhubung dengan pembeli sebelum menghantar bekalan dadah ke pelbagai lokasi di sekitar Kuching,” katanya dalam satu kenyataan.

Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek wanita tempatan negatif dadah, manakala suspek warga asing positif ketamin.

Semakan rekod juga mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Kedua-dua suspek direman selama lima hari, dari 22 hingga 26 Oktober, bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang daripada 12 kali jika disabitkan kesalahan.

Alexson berkata kejayaan itu hasil risikan berterusan dan kerjasama orang awam, sambil menegaskan bahawa polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam pengedaran dadah.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan dadah boleh menghubungi talian hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di 012-208 7222 atau hotline IPK Sarawak di 017-592 9211.

Oleh Connie Chieng