
DARO: Sebuah rumah tidak kekal musnah sepenuhnya dalam satu kejadian kebakaran di Kampung Tebaang, di sini pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 8.32 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daro dikerahkan ke lokasi.

“Jentera bomba tiba di lokasi sejauh 16 kilometer dari balai pada 8.50 pagi dan mendapati rumah berstruktur tidak kekal itu telah terbakar 100 peratus.
“Operasi pemadaman dilakukan menggunakan dua aliran sepanjang 400 kaki dengan dua nozel serta sumber air terbuka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut jurucakap itu, anggaran keluasan kebakaran adalah 36 x 108 kaki persegi dan operasi berjaya dikawal pada 9.30 pagi sebelum ditamatkan sepenuhnya pada 10.58 pagi.
Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dan pemeriksaan lanjut mengesahkan keadaan adalah selamat serta terkawal.
Oleh Tarani Lanting