KUALA LUMPUR, 26 November: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melancarkan Dasar Keselamatan Negara (DKN) 2026 hingga 2030 yang menggariskan hala tuju strategik negara dalam memperkukuh keselamatan dan mempertahankan kedaulatan negara bagi tempoh lima tahun akan datang.
Anwar berkata dasar itu mengambil kira perubahan landskap geopolitik serta ancaman keselamatan tradisional dan bukan tradisional yang semakin kompleks, sekali gus membolehkan negara membuat persediaan lebih menyeluruh dalam mendepani cabaran baharu.
Beliau berkata kekuatan DKN 2026 hingga 2030 terletak pada keupayaannya menjangka dan menangani permasalahan serta cabaran keselamatan baharu yang tidak lagi terhad kepada ancaman konvensional.
“Dasar keselamatan negara ini mengambil kira pandangan dasar yang lalu tetapi saya rasa kekuatannya ialah dapat menjangka dan cuba menangani permasalahan dan cabaran baharu,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran DKN 2026 hingga 2030 di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata perkembangan ancaman siber dan penggunaan teknologi baharu memerlukan negara meningkatkan kesiapsiagaan serta membangunkan keupayaan yang lebih sesuai dengan landskap keselamatan semasa.
Beliau berkata ancaman keselamatan kini bukan sahaja melibatkan konflik antara negara, sebaliknya turut merangkumi serangan terhadap sistem kewangan, pertahanan dan infrastruktur kritikal negara.
Sehubungan dengan itu, Anwar berkata kerangka Dasar Keselamatan Negara yang dirangka untuk tempoh lima tahun perlu terus dikaji dari semasa ke semasa bagi memastikan ia kekal relevan dengan perubahan ancaman.
“Kalau dulu kita boleh sediakan satu kerangka dasar untuk lima tahun, 10 tahun. Sekarang kerangka itu masih wajar dipertahankan untuk lima tahun tetapi harus dikaji setiap masa,” katanya.
Beliau turut berpandangan bahawa kementerian berkaitan perlu meneliti keperluan mewujudkan unit baharu bagi meningkatkan keupayaan negara, khususnya dalam aspek keselamatan siber, selain memperkukuh penyelarasan antara agensi terlibat.
Anwar berkata usaha itu perlu disokong dengan kepakaran dan kemahiran khusus, termasuk memberikan pendedahan serta latihan pengkhususan kepada pegawai muda di institusi terbaik dunia.
DKN 2026 hingga 2030 merupakan kesinambungan kepada DKN 2021 hingga 2025 yang berteraskan konsep Keselamatan Menyeluruh (COMSEC), dengan sembilan Nilai Teras Keselamatan Negara dalam dasar terdahulu disusun semula kepada 10 Bidang Tumpuan Strategik (BTS).
Antara penambahbaikan utama ialah pengenalan bidang tumpuan Keselamatan Siber dan Teknologi, mengambil kira peningkatan penggunaan platform dalam talian dalam urusan harian rakyat, termasuk pembayaran bil dan perbankan.
Dasar itu turut menggariskan 30 strategi bagi menangani 53 isu, cabaran dan ancaman keselamatan yang dikenal pasti.
Melalui Indeks Keselamatan Kebangsaan (IKK), kerajaan akan mengukur tahap keselamatan negara dan mengesan risiko lebih awal bagi membolehkan agensi berkaitan mengambil langkah pencegahan serta tindakan segera.
Pelaksanaan dasar itu akan diselaraskan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri, bersama kementerian dan agensi berkaitan, dengan kerjasama sektor swasta serta masyarakat menerusi pendekatan Keseluruhan Kerajaan dan Keseluruhan Masyarakat.
Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ketua Pengarah MKN Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin. – Bernama




