
BINTULU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Bintulu menahan sebuah bot tunda kerana beroperasi tanpa nakhoda yang sah di kedudukan 1.4 batu nautika barat laut muara Sungai Kemena, di sini, petang semalam.
Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah berkata, bot berkenaan dikesan dan diperiksa oleh bot ronda Maritim Malaysia dalam rondaan Operasi PERMAI 01/2019 dan OP TIRIS 3.0 ketika dalam perjalanan menuju ke muara Sungai Kemena.

Foto APMM Zon Maritim Bintulu
“Hasil pemeriksaan mendapati bot tunda tersebut dikendalikan oleh dua kru warga India, masing-masing berusia 28 dan 20 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, bot itu disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 22 (2A), Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana gagal memaklumkan secara bertulis kepada Pendaftar Kapal berhubung pertukaran nama nakhoda dalam sijil pendaftaran kapal.
“Kesalahan ini memperuntuk hukuman kompaun sehingga RM2,500,” katanya.
Bot tunda bersama kru telah ditahan dan diiring masuk ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.
Dalam pada itu, Suffian turut menasihati komuniti maritim agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang serta mengutamakan keselamatan sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut.
Sebarang maklumat atau aduan mengenai aktiviti mencurigakan di laut boleh disalurkan melalui talian kecemasan 999, Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu di 086-314 254, atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di 082-432544 yang beroperasi 24 jam.
Oleh Carolyne Utih