
BILBAO, Sepanyol: Bruno Fernandes meledak dua gol ketika Manchester United selangkah berada di final Liga Europa dengan persembahan klinikal di gelanggang lawan untuk mengalahkan Athletic Bilbao yang beraksi 10 pemain 3-0, awal pagi tadi.
Penyokong tuan rumah berang apabila pertahanan Athletic, Daniel Vivian dibuang padang kerana menarik Rasmus Hojlund dan Fernandes menyepak masuk penalti, selepas Casemiro membuka tirai jaringan bertentangan dengan arus permainan pada separuh akhir pertama.
Fernandes kemudian merembat masuk gol ketiga sebelum rehat ketika pasukan kendalian Ruben Amorim semakin menghampiri final, yang akan diadakan di gelanggang Athletic, Stadium San Mames.
Tuan rumah mengimpikan memenangi trofi pertama Eropah di laman sendiri tetapi harapan mereka pudar susulan persembahan profesional United di utara Sepanyol – dan penyokong Athletic mempersoalkan mutu pengadilan.
Terdampar di tangga ke-14 Liga Perdana Inggeris, kelayakan ke Liga Juara-Juara buat United hanya pasti dengan kejayaan dalam Liga Europa, ketika ia turut menawarkan peluang untuk mengaut £100 juta (RM573 juta).
Sekalipun secara kerap bergelut di bawah tekanan musim ini, Red Devils – yang menghasilkan kebangkitan menakjubkan menentang Lyon pada suku akhir – pada mulanya bertahan dan kemudian menyerlah dalam suasana membingitkan.
Jaringan awal Alejandro Garnacho mengancam tuan rumah tetapi penyerang itu berada dalam kedudukan ofsaid.
San Mames bergegar dan tuan rumah mengasak tetapi apabila bekas pemain tengah Real Madrid, Casemiro membuka tirai jaringan buat United, ia hadir sebagai satu kejutan.
Lebih mengejutkan adalah cara United mencipta gol itu, dengan pertahanan tengah Harry Maguire menggelecek di sayap kanan sebelum melakukan hantaran silang ke kotak penalti, ditanduk Manuel Ugarte ke arah Casemiro yang menanduk masuk dari jarak dekat.
United mendapat gol kedua tidak lama kemudian apabila Vivian dipersalahkan kerana menarik Hojlund yang cuba menyambut satu hantaran silang.
Ia satu detik penentu. Pemain pertahanan itu dibuang padang dan penyokong Athletic mula berang.
Fernandes menyepak masuk tendangan penalti ke penjuru kanan, mengelirukan penjaga gol Julen Agirrezabala.
Mereka terus mengganas dan meledak masuk gol ketiga sejurus sebelum rehat apabila kuisan ke belakang Ugarte menyaksikan Fernandes merembat masuk dengan mudah. – AFP