
ROBAN: Setiap keperluan di kampung mahupun di rumah panjang dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka akan dikenal pasti melalui Program Transformasi Luar Bandar (RTP) setiap tahun dan juga melalui Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata beliau akan berusaha sedaya upaya memenuhi setiap permintaan penduduk di konstituensi tersebut.
“Sudah semestinya lain tempat dan kawasan, permohonan penduduk berbeza-beza mengikut keperluan dan keselesaan masing-masing.
“Di Rumah Sanggat Libau Sungai Ruan Roban contohnya, Pusat Khidmat ADUN N.38 Kalaka telah turun padang meneliti beberapa keperluan asas yang telah dipohon beberapa hari lalu.
“Saya telah bersama agensi pelaksana projek seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Saratok dan JKR Bahagian Betong, telah melaksanakan lawatan tapak untuk mendapatkan gambaran yang jelas bagi menyediakan skop kerja bagi tujuan membina pusat komuniti di rumah panjang mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa turun padang bersama agensi pelaksana bagi meninjau keperluan penduduk Rumah Sanggat Libau Sungai Ruan Roban, hari ini.
Dalam pada itu Mohamad Duri berkata pembinaan sebuah pusat komuniti yang berjumlah sebanyak RM100,000 telah diluluskan bagi projek RTP bagi tahun 2025.
“Syukur alhamdulillah, saya juga berkesempatan meluangkan masa bertemu muka dengan penduduk Rumah Sanggat untuk bertanya khabar dan meneliti permohonan projek jalan pertanian dan jalan ke kawasan tanah perkuburan,” katanya.
Turut hadir Timbalan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kalaka, Kaunselor Kasdi Pandi dan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok, Putra Ila.
Oleh Adi Safarman