NOTTINGHAM, United Kingdom: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta, menegaskan kedalaman skuad menjadi faktor penting dalam usaha pasukannya mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas Noni Madueke muncul wira kemenangan 1-0 ke atas Nottingham Forest, awal pagi tadi.
Skuad kendalian Arteta gagal mempamerkan aksi terbaik di Stadium City Ground, malah tidak mencatat sebarang percubaan tepat ke sasaran sehingga Madueke meledak gol kemenangan ketika perlawanan berbaki 10 minit.
Walaupun persembahan The Gunners kurang meyakinkan di kawasan East Midlands, keputusan itu tetap memberikan kelegaan apabila mereka kini hanya dipisahkan tiga mata daripada pendahulu liga, Manchester City.
Arteta memiliki antara barisan pemain simpanan paling berkualiti dalam saingan EPL dan memanfaatkan sepenuhnya pilihan yang tersedia untuk mengubah corak permainan di gelanggang berhampiran Sungai Trent itu.
Keputusan pentingnya ialah memasukkan Madueke bagi menggantikan Eberechi Eze yang kurang menyerlah pada permulaan separuh masa kedua.
Beliau turut membawa masuk Mikel Merino, Viktor Gyokeres dan Jurrien Timber ketika permainan memasuki separuh masa kedua.
Madueke akhirnya menjadi watak utama apabila melakukan gerakan dari sayap kiri sebelum melepaskan rembatan kencang yang terkena pemain lawan dan terbias melepasi penjaga gol Forest, Matz Sels, pada minit ke-80.
“Kami terpaksa berjuang sehingga saat terakhir untuk memperoleh kemenangan ini. Mereka sebuah pasukan yang dibimbing dengan baik dan sukar ditembusi. Kami perlu mengambil risiko kerana mereka pasukan yang berbahaya,” kata Arteta.
“Kami juga perlu mengawal emosi dengan baik. Pemain kekal fokus dan pemain gantian memberikan impak yang sangat besar.”

Arsenal kini berdepan jadual perlawanan padat, termasuk kemenangan ke atas Lille dalam saingan Liga Juara-Juara pada pertengahan minggu lalu, selain bakal bertandang ke Bayern Munich bagi aksi Eropah pada Rabu ini.
Keupayaan Arteta merehatkan pemain utama tanpa menjejaskan kekuatan pasukan secara ketara dijangka menjadi antara faktor penting dalam perebutan kejuaraan liga musim ini.
“Sebahagian pemain beraksi tiga hari lalu, manakala sebahagian lagi akan diturunkan dalam perlawanan seterusnya. Mereka tahu setiap pemain perlu sentiasa bersedia memberikan yang terbaik,” katanya.
“Jika khidmat mereka diperlukan selepas 60 minit, 45 minit atau kadangkala hanya untuk dua minit, mereka mesti bersedia.
“Kami kini mempunyai skuad yang mampu memberikan sumbangan pada saat penting dan kami perlu memanfaatkan kelebihan itu.
“Noni, Jurrien dan Mikel mempamerkan aksi cemerlang selepas dimasukkan, manakala Viktor benar-benar mengubah permainan. Semuanya memberikan sumbangan dan itulah yang kami perlukan.
“Noni sememangnya menjadi tumpuan kerana menjaringkan gol dan itulah yang membezakan kedua-dua pasukan,” katanya.
Selepas mengalami kekalahan mengejut 0-3 kepada Brighton pada 19 September lalu, Arsenal yang kini menghuni tangga kedua liga berjaya bangkit dengan mencatat tiga kemenangan berturut-turut.
Bagaimanapun, kelab dari utara London itu masih belum berjaya mengulangi tahap konsistensi luar biasa yang membawa mereka merangkul kejuaraan liga pertama dalam tempoh 22 tahun pada musim lalu.
Namun, Arsenal terus membuktikan kemampuan meraih kemenangan biarpun berdepan tentangan sengit, dengan kejayaan menewaskan Forest menjadi kemenangan keenam mereka dalam tujuh perlawanan liga.
“Ada kalanya anda boleh berasa kecewa apabila berdepan pasukan yang sukar ditembusi. Pada separuh masa pertama, kami langsung tidak mempunyai percubaan tepat ke sasaran dan perkara itu menjadi antara yang kami bincangkan,” kata Arteta.
“Kami mempunyai dua lagi peluang besar pada separuh masa kedua, tetapi satu-satunya percubaan tepat ke sasaran yang kami lakukan terkena sedikit biasan sebelum menerjah gawang,” katanya.— AFP



