
SERIAN: Penggabungan tiga agensi utama bekalan air negeri Sarawak, iaitu Lembaga Air Kuching (LAKU), Lembaga Air Sibu (LASB) dan Lembaga Air Bintulu (LAB), kini memasuki fasa akhir dengan nama dan logo baharu yang telah dimuktamadkan.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato’ Sri Julaihi Narawi, mengumumkan bahawa pelancaran rasmi entiti baharu tersebut dijangka bakal dilaksanakan pada pertengahan Jun depan.
“Penggabungan ini bertujuan untuk mewujudkan satu entiti yang lebih kukuh dan efisien dalam menyediakan perkhidmatan bekalan air di seluruh negeri.
“Penggabungan ini diharapkan dapat membawa peningkatan dalam pengurusan dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat, seterusnya memastikan bekalan air yang lebih cekap dan berterusan.
“Proses penggabungan ini turut merangkumi penyatuan struktur organisasi serta penambahbaikan insentif kepada kakitangan, termasuk gaji, caruman KWSP, dan faedah lain yang dijangka akan lebih baik berbanding sistem sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui media ketika lawatan kerja rasmi ke Projek Bekalan Air Sarawak di Loji Rawatan Air Slabi, hari ini.
Julaihi turut menambah bahawa satu majlis rasmi akan diadakan untuk mengumumkan logo dan nama baharu entiti tersebut yang akan diterajui oleh sebuah Lembaga Pengarah yang telah dilantik.
“Penggabungan ini akan dilaksanakan di bawah pemilikan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri.
“Kita kini berada di peringkat akhir proses penggabungan. Beberapa sesi town hall juga telah diadakan bersama setiap agensi terlibat untuk memaklumkan mengenai skim tawaran yang diberikan.
“Semua kakitangan akan diberi pilihan sama ada mahu menyertai entiti baharu atau meneruskan perkhidmatan sedia ada,” ujarnya.
Oleh Masrin Affirah