
SIBU: Peruntukan pembangunan bagi Parlimen Selangau harus dibahagi secara adil antara pelbagai komuniti termasuk Iban, Melayu, Cina, Punan dan Kenyah, selain mengimbangkan keperluan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamin dan Kakus.
Ahli Parlimen Selangau, Edwin Banta berkata, projek kecil bernilai bawah RM50,000 boleh dimohon melalui peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) manakala projek melebihi RM50,000 perlu dipohon menerusi program pembangunan lebih besar seperti Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) atau melalui sistem MyKHAS di bawah kerajaan negeri.
“Kalau minta projek sampai RM5 juta untuk satu rumah panjang, itu tidak realistik. Kita mesti merancang dengan bijak dan memahami kemampuan kewangan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Memperkasakan Institusi Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Selangau di sebuah hotel di sini, hari ini.
Edwin turut menyarankan ketua kaum di kawasan Parlimen Selangau agar mengutamakan keperluan sebenar dalam memohon setiap projek pembangunan untuk komuniti mereka, selain bersifat telus.
Katanya, setiap permohonan perlu mengambil kira kepentingan dan keperluan utama rakyat setempat serta mematuhi garis panduan yang ditetapkan agar peruntukan yang ada dapat digunakan secara optimum untuk manfaat penduduk.
“Saya tidak menghalang ketua kaum memohon projek, malah saya menggalakkannya. Tetapi saya menyeru supaya permohonan itu dibuat dengan lebih bertanggungjawab.
“Mohonlah projek yang penting dahulu seperti jalan, bekalan air bersih, kemudahan asas dan bukan projek-projek yang tidak mendesak,” ujarnya.
“Selalulah hadir ke Pejabat Daerah, bukan saja untuk mendapatkan maklumat baru, tetapi untuk memperkukuh hubungan kerja dengan pegawai-pegawai kerajaan. Dengan hubungan yang baik, kerja kita juga lebih mudah,” katanya.
Tambah beliau, ketua masyarakat bukan sahaja menjadi ketua di rumah panjang atau kampung masing-masing tetapi juga berperanan sebagai ejen transformasi sosial yang membantu menyampaikan dasar kerajaan kepada rakyat dan memastikan kesejahteraan komuniti.
Turut hadir Residen Bahagian Sibu, Abang Mohamad Porkan Abang Budiman, Pegawai Daerah Sibu, Wee Teck Min, pemangku Pegawai Daerah Selangau, Chua Siong Wei, Temenggong, Stanley Geramong serta yang lain.
Oleh Akun Giman