
SIBURAN: Persatuan Misi Dunia Gereja Tuhan berjaya mengumpul sebanyak 18,350 mililiter darah melalui penganjuran Kempen Derma Darah Sedunia untuk memberikan kehidupan melalui Kasih Paskah, semalam.
Wakil Pejabat Pegawai Daerah Siburan, Alaster Alim, menzahirkan penghargaan kepada Persatuan Misi Dunia Gereja Tuhan kerana telah menganjurkan aktiviti yang sangat bermanfaat untuk penduduk Siburan.
“Usaha murni Persatuan Misi Dunia Gereja Tuhan amat bermakna untuk komuniti setempat,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.
Wakil Persatuan Bulan Sabit Merah Serian, turut memuji kerjasama erat antara Persatuan Misi Dunia Gereja Tuhan dalam menjayakan kempen tersebut.
“Ia satu penghormatan besar untuk bekerjasama dalam kempen ini dan kami berharap dapat terus berkolaborasi dalam program lain pada masa hadapan,” ujarnya.
Dalam pada itu, seorang sukarelawan, Robert Mon, berharap lebih banyak publisiti dapat dilakukan untuk menarik lebih ramai penyertaan pada masa akan datang.
“Saya rasa orang ramai perlu dimaklumkan lebih awal supaya lebih ramai dapat turut serta dalam kempen seperti ini,” katanya.
Sukarelawan lain, Mit Ringkai, pula berazam untuk terus aktif dalam program derma darah.
Kempen tersebut merupakan salah satu inisiatif Gereja Tuhan untuk menyebarkan nilai kasih sejagat sempena sambutan Paskah.
Kempen ini diadakan serentak di tiga lokasi iaitu Eastern Mall Siburan di Serian, Bintulu dan Kota Kinabalu, Sabah.
Seramai 300 peserta mengambil bahagian dalam kempen itu bagi membantu mengatasi kekurangan bekalan darah di hospital dan klinik tempatan.
Oleh Masrin Affirah