MUKAH, 8 November: Pertandingan Tipak Nyawu Piala Tugek P.213 Mukah berpotensi besar untuk diangkat sebagai sebuah fenomena baharu bagi kelas sukan tradisional.
Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang juga Ketua Cawangan PBB N.58 Balingian, Dr. Abdul Yaakub Arbi, berkata sukan tradisional masyarakat Tipak Nyawu mampu menarik ramai penyertaan sekali gus memelihara warisan budaya masyarakat tempatan.

“Tipak Nyawu yang membawa maksud memutuskan layang-layang di dalam bahasa Melanau merupakan sebuah sukan popular pada suatu ketika dahulu.
“Permainan ini juga dimainkan oleh pelbagai peringkat umur khususnya masyarakat di Mukah,” katanya ketika menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang bertempat di Tugek Kala Dana Mukah, hari ini.
Tambahnya lagi, keunikan sukan ini terletak pada kepakaran pemain menghasilkan layang-layang dengan rekabentuk yang sesuai serta strategi yang hebat untuk bersaing dengan pemain lain.

“Apabila kepakaran, kemahiran dan strategi ini digabungkan, pemain akan merasai keseronokan ketika bermain Nyawu bersama pemain lain.
“Tidak hairanlah pertandingan ini sering mendapat sokongan daripada peminatnya pada masa yang sama penyertaan daripada masyarakat berbilang kaum turut memupuk semangat perpaduan,” katanya lagi.
Sementara itu, Ali Hamid berkata penganjuran pertandingan berkenaan merupakan salah satu inisiatif Pusat Khidmat P.213 Mukah yang turut menyalurkan peruntukan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Alo serta Alo Kite’s Fighter Team bagi menjayakan penganjuran bersama.

Sehubungan itu, Ali turut merakamkan penghargaan kepada Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia yang juga Ahli Parlimen P.213 Mukah, Datuk Hanifah Hajar Taib atas sokongan dan peruntukan yang diberikan bagi memastikan pertandingan berkenaan berjalan lancar.
Di samping itu, pertandingan kali ini menampilkan peserta bernama Lai Tanjung berjaya merangkul kedudukan johan, naib johan dan tempat ketiga sekali gus membawa pulang piala, wang tunai berjumlah RM2500 serta tiga hamper utama.
Adibfahmy




