Reka bentuk projek jalan berkembar Batu Kitang-Bau hampir selesai, pembinaan dijangka bermula 2028

Facebook
WhatsApp
DATUK Lo Khere Chiang ketika ditemui pada Karnival Telaga Air, di Kampung Telaga Air, hari ini.

KUCHING, 8 November: Projek pembinaan jalan raya berkembar menghubungkan Batu Kitang ke Bau kini menunjukkan perkembangan apabila reka bentuk bagi fasa satu dari Bau ke Keranji berada di peringkat akhir, dengan kerja pembinaan dijangka bermula tahun depan.

Penyandang kerusi DUN Batu Kitang, Datuk Lo Khere Chiang berkata, projek berkenaan masih belum memasuki peringkat tender, namun proses penyediaan reka bentuk bagi fasa pertama hampir dimuktamadkan.

“Reka bentuk bagi fasa satu dari Bau ke Keranji kini berada di peringkat akhir. Saya tidak pasti tarikh tepat pembinaannya bermula, tetapi kerja dijangka bermula pada 2028,” katanya ketika ditemui pada Karnival Telaga Air di Kampung Telaga Air, di sini, hari ini. 

Lo berkata, projek berkenaan dibahagikan kepada tiga fasa bagi memastikan pelaksanaannya dapat dilakukan secara terancang berikutan kos pembangunan yang besar serta mengambil kira keperluan mengekalkan kelancaran trafik sepanjang kerja pembinaan.

Menurutnya, fasa satu melibatkan laluan Bau ke Keranji, manakala fasa dua menghubungkan Jalan Stephen Yong ke Keranji.

Fasa tiga pula melibatkan laluan dari Batu 7 ke Bumbok, dengan khidmat perunding bagi fasa berkenaan juga telah dilantik dan kerja-kerja reka bentuk turut tersedia.

“Setiap fasa dianggarkan menelan kos sekitar RM500 juta. Ini merupakan projek yang besar dan kita sedar bahawa sumber kewangan adalah terhad. Sebab itu pelaksanaannya perlu dilakukan secara berperingkat,” katanya.

Berdasarkan anggaran tersebut, keseluruhan projek yang merangkumi tiga fasa dijangka menelan kos sekitar RM1.5 bilion.

Beliau menjelaskan, keutamaan diberikan kepada laluan Bau ke Keranji bagi menyediakan laluan alternatif kepada pengguna sekiranya kerja pembinaan di laluan Batu 7 ke Batu Kitang menyebabkan penutupan jalan atau gangguan trafik.

Katanya, pendekatan itu penting memandangkan laluan berkenaan menampung jumlah trafik yang tinggi setiap hari, justeru pelaksanaan projek perlu mengambil kira kesan terhadap pergerakan pengguna jalan raya.

Mengulas mengenai pengambilan tanah dan kemungkinan pertikaian melibatkan pemilik tanah, Lo berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) akan menguruskan perkara berkaitan termasuk rundingan pampasan serta kawasan yang terjejas akibat pelaksanaan projek.

Beliau berkata sesi libat urus bersama penduduk dan wakil rakyat kawasan terlibat, termasuk Penyandang Kerusi DUN Tasik Biru Dato Henry Harry Jinep dan Penyandang Kerusi Dun Serembu , Miro Simuh, telah diadakan sejak peringkat awal perancangan projek.

Tambahnya, projek berkenaan merupakan projek kerajaan negeri yang dijangka meningkatkan kapasiti jalan raya, melancarkan pergerakan trafik serta memperkukuh hubungan antara Kuching dengan Bau.

Oleh Shahrul Qaizat