
BINTANGOR: Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Rajang memainkan peranan penting dalam mencorak masa depan pendidikan, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman Sarawak, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing.
Katanya, beliau sangat menghargai segala usaha dan dedikasi yang dicurahkan oleh barisan pensyarah serta guru pelatih yang bakal berbakti kepada anak bangsa di seluruh pelosok negeri.
“Kita sedar bahawa dunia pendidikan hari ini sedang bergerak pantas seiring dengan kemajuan teknologi.
“Oleh itu, saya menyeru kepada semua siswa pendidik agar sentiasa bersedia dengan perubahan dan cabaran yang mendatang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis ramah tamah Aidilfitri 2025 anjuran IPG Kampus Rajang, baru-baru ini.
Katanya, gunakan peluang menuntut ilmu di kampus tersebut untuk memperkasa diri dari segi ilmu, sahsiah dan keterampilan demi menjadi guru yang bukan sahaja mengajar, tetapi juga mendidik dan menjadi inspirasi kepada anak didik.
Beliau juga menegaskan komitmennya sebagai wakil rakyat sentiasa terus menyokong segala usaha pembangunan pendidikan di kawasan Meradong.
“Segala cadangan, keperluan atau pandangan daripada pihak IPG Kampus Rajang akan diambil perhatian sewajarnya demi kepentingan bersama,” katanya.
Turut hadir Pengarah IPG Kampus Rajang, Mohd Khadri Fadzil Rahman; Timbalan Pengarah IPG Kampus Rajang, Dr. Cindy Wong Chiee Chen dan Ketua Unit Khidmat Pengurusan selaku penyelaras majlis ramah tamah Aidilfitri IPG Kampus Rajang 2025, Adib Farhan Sapian.
Oleh Earl Anek