PETRA JAYA, 9 November: Seramai 132 ahli Pengakap Kanak-Kanak dan Pengakap Muda Daerah Petra Jaya menerima pengiktirafan menerusi Majlis Penyampaian Anugerah Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Kali Ke-10 (2026) dan Rambu Pengakap Kanak-Kanak serta Pengakap Muda yang berlangsung di Dewan Al-Hakim, Sekolah Kebangsaan (SK) Agama Datuk Haji Abdul Kadir Hassan, hari ini.
Majlis anjuran Persekutuan Pengakap Malaysia Cawangan Sarawak, Daerah Petra Jaya itu bertujuan mengiktiraf pencapaian serta komitmen ahli Pengakap dalam melengkapkan syarat dan tahap kepengakapan yang ditetapkan.
Majlis disempurnakan Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Ngatiman Seripin yang turut menyampaikan anugerah kepada penerima.

Turut hadir Abg. Zulfikar Abg. Zaini, Azrul Azeem Selamat, Mohd Hanapi Ahmad, Azizah Sulong dan Mohd Arnie Mustapha.
Majlis berkenaan turut dihadiri guru pemimpin Pengakap serta ibu bapa penerima dari beberapa sekolah di Daerah Petra Jaya, antaranya SK RPR Jalan Astana, SK Semerah Padi, SK Kampung Senari, SK Siol Kanan, SK Merpati Jepang, SK Bandar Samariang dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bako.
Pengiktirafan itu merupakan penghargaan terhadap usaha, kesungguhan dan dedikasi ahli Pengakap dalam mengikuti aktiviti serta melengkapkan setiap tahap yang ditetapkan.


Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu rasmi, bacaan doa dan ucapan alu-aluan sebelum diteruskan dengan ucapan perasmian oleh Ngatiman.
Acara turut merangkumi pembukaan sidang, pemakaian Rambu, penutupan sidang, penyampaian sijil dan anugerah kepada sekolah terlibat, penyampaian cenderamata serta sesi bergambar.
Penganjuran majlis itu diharap dapat mendorong ahli Pengakap untuk terus meningkatkan pencapaian, mengamalkan disiplin, membina kepimpinan dan menghayati nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.




