Kebolehpasaran graduan IPS capai 82 peratus

Facebook
WhatsApp
PENGARAH Pertanian Sarawak, Datu Dominic Chunggat (dua kiri) pada Majlis Konvokesyen Ke-21 Institut Pertanian Sarawak di sebuah hotel, di Kuching. Foto Adele Rissa

KUCHING, 9 November: Institut Pertanian Sarawak (IPS) mencatat kadar kebolehpasaran graduan sebanyak 82 peratus, mencerminkan keupayaan institusi itu melahirkan tenaga kerja berkemahiran bagi memenuhi keperluan sektor pertanian.

Pengarah Pertanian Sarawak, Datu Dominic Chunggat berkata, berdasarkan maklumat terkini, seramai 20 graduan telah memperoleh pekerjaan dalam bidang agro, manakala enam lagi bekerja dalam bidang bukan agro.

DATU Dominic Chunggat (kiri) menyaksikan graduan Institut Pertanian Sarawak (IPS) menerima sijil pada Majlis Konvokesyen Ke-21 di sebuah, di Kuching. Foto Adele Rissa

Menurutnya, pencapaian itu menunjukkan usaha institut dalam menyediakan graduan untuk memasuki alam pekerjaan, selain memperkukuh mutu latihan dan jaringan kerjasama dengan pihak industri.

“Angka kebolehpasaran ini bukan sekadar statistik. Di sebaliknya terdapat graduan yang sedang membina kerjaya, keluarga yang menaruh harapan dan tenaga pengajar yang telah mencurahkan usaha,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Ke-21 Institut Pertanian Sarawak di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Dominic berkata, graduan yang masih belum memperoleh pekerjaan digalakkan supaya terus meningkatkan kemahiran, menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi atau menceburi bidang keusahawanan, khususnya keusahawanan agro.

Menurutnya, peluang dalam sektor pertanian terbuka luas dan graduan boleh memanfaatkan pengetahuan serta kemahiran yang diperoleh sepanjang pengajian untuk membangunkan perusahaan sendiri.

Beliau berkata, IPS akan terus memperkukuh kualiti pendidikan dan latihan bagi melahirkan graduan yang kompeten, berdisiplin serta mampu menyesuaikan diri dengan perkembangan sektor pertanian.

Oleh Adele Rissa