RM6 juta perluas kapasiti Institut Pertanian Sarawak

Facebook
WhatsApp
TIMBALAN Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Ke-21 Institut Pertanian Sarawak di sebuah hotel, hari ini. Foto Adele Rissa

KUCHING, 9 November: Institut Pertanian Sarawak (IPS) bakal meningkatkan kapasiti pengambilan pelajar kepada 400 orang menjelang 2028 menerusi pembinaan asrama baharu bernilai RM6 juta di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13).

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, pembinaan asrama baharu itu dijangka bermula pada 2027 dan siap dalam tempoh setahun.

Menurutnya, institut berkenaan ketika ini hanya mampu menampung kira-kira 200 pelajar berbanding kapasiti maksimum 400 pelajar berikutan kekurangan kemudahan asrama.

Beliau berkata, selain meningkatkan kapasiti pengambilan pelajar, institut itu turut merancang untuk dinaik taraf kepada kolej bagi membolehkannya menawarkan program pengajian peringkat diploma pada masa hadapan.

“Pada masa ini, ia masih di peringkat institut dan kursus yang ditawarkan berbentuk sijil. Kita berharap institut ini dapat dinaik taraf kepada kolej pada masa akan datang supaya dapat menawarkan kursus diploma,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Konvokesyen ke-21 Institut Pertanian Sarawak di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Abdul Rahman menjelaskan, cadangan menaik taraf institut berkenaan masih di peringkat perancangan dan diharap dapat direalisasikan menerusi RMK-13.

Beliau berkata, sejak penubuhannya pada 1983, IPS telah melahirkan lebih 2,000 graduan dengan kadar kebolehpasaran pekerjaan keseluruhan sebanyak 82 peratus.

Seramai 90 graduan diraikan pada konvokesyen tahun ini, dengan 20 peratus daripada mereka telah memperoleh pekerjaan.

Beliau berharap usaha memperkukuh kemudahan serta memperluas penawaran program pengajian institut itu dapat membantu melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir bagi memenuhi keperluan sektor pertanian Sarawak.

Oleh Adele Rissa

Kebolehpasaran graduan IPS capai 82 peratus

KUCHING, 9 November: Institut Pertanian Sarawak (IPS) mencatat kadar kebolehpasaran graduan sebanyak 82 peratus, mencerminkan keupayaan institusi itu melahirkan tenaga

Kebolehpasaran graduan IPS capai 82 peratus

KUCHING, 9 November: Institut Pertanian Sarawak (IPS) mencatat kadar kebolehpasaran graduan sebanyak 82 peratus, mencerminkan keupayaan institusi itu melahirkan tenaga