
SIBU: Sibu International Powerboat Race (SIPBR) 2025 yang berlangsung di Waterfront Pulau Li Hua di sini diyakini mampu menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi tempatan.
Residen Bahagian Sibu, Abang Mohamad Porkan Abang Budiman berkata, ini khususnya dalam sektor pelancongan komuniti dan perusahaan kecil.
“Sektor pelancongan komuniti, produk tempatan, makanan warisan dan kraf tangan mendapat perhatian lebih luas, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada penduduk untuk berkembang,” katanya ketika berucap pada majlis penangguhan SIPBR2025 di sini, petang semalam (27 April).
Menurut beliau, lokasi penganjuran SIPBR2025, iaitu Waterfront Pulau Li Hua, juga berpotensi untuk dimajukan sebagai tapak utama sukan air bertaraf antarabangsa.
“Dengan pembangunan fasiliti yang bersesuaian, Sibu mampu menempatkan dirinya di peta sukan air dunia, selain memperkukuhkan kedudukan bandar ini sebagai hab pelancongan dan sukan bertaraf global,” katanya.
Abang Mohamad Porkan berkata, penganjuran edisi kali ini membuktikan bahawa Sibu bukan sekadar sebuah bandar kecil, sebaliknya sebuah komuniti besar yang mempunyai semangat perpaduan tinggi dan potensi besar untuk berkembang ke peringkat nasional dan antarabangsa.
“Kita telah memulakan satu tradisi, dan saya yakin Sibu International Powerboat Race akan terus berkembang menjadi acara bertaraf dunia yang bukan sahaja memacu pelancongan dan ekonomi, malah melahirkan lebih ramai juara sukan air dari Malaysia,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa SIPBR2025 memperlihatkan semangat kesukanan yang tinggi dalam kalangan peserta, selain mengeratkan hubungan masyarakat berbilang latar belakang dan budaya.
Dalam ucapannya, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan penganjuran acara tersebut.
SIPBR2025 dianjurkan oleh Jawatankuasa Petugas Pelancongan Bahagian (DTTG) Sibu dengan kerjasama strategik Kelab Sukan Rekreasi Pulau Li Hua serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pulau Li Hua.
Acara yang berlangsung dari 25 hingga 27 April itu menghimpunkan 262 bot pelbagai kategori termasuk penyertaan dari negara jiran, Brunei, dan berjaya menarik ribuan pengunjung dari dalam dan luar kawasan Sibu.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan, Allan Siden Gramong; Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili; Setiausaha Penganjur SIPBR2025, Maria Nadja Jimmy, serta tetamu kehormat lain.
Oleh Tarani Lanting