Mei Xing umum bersara

Facebook
WhatsApp
PERSARAAN… Pemain beregu wanita kebangsaan, Teoh Mei Xing mengumumkan persaraannya daripada sukan badminton kompetitif selepas lebih sedekad bergelar pemain profesional.

KUALA LUMPUR, 19 Oktober: Pemain beregu wanita kebangsaan Teoh Mei Xing mengumumkan persaraannya daripada sukan badminton kompetitif, selepas lebih sedekad berkecimpung dalam sukan itu.

Dalam satu hantaran di Instagram baru-baru ini, Mei Xing menyatakan rasa syukur beliau kerana berpeluang beraksi dalam kejohanan terakhirnya di tanah air, dengan beliau bergandingan bersama-sama Tan Zhi Yang pada pusingan pertama beregu campuran di Malaysia Super 100 di Iskandar Puteri namun tewas kepada pasangan Korea Selatan Jin Sung Ik-Lee Seung-hee.

“Saya bersyukur kerana aksi terakhir saya di Malaysia, tetapi saya agak kecewa kerana tidak memenangi kejuaraan sebelum menamatkan kerjaya badminton saya.

“Tetapi ia bukanlah satu masalah besar… Saya bukanlah seorang pemain yang memenangi banyak kejuaraan utama, namun dengan usaha yang saya curahkan dalam kerjaya badminton saya, saya tidak mempunyai sebarang penyesalan,” katanya.

Dalam hantaran yang sama, Mei Xing turut mengambil kesempatan untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada mereka yang telah menyokongnya sepanjang perjalanan badmintonnya, terutamanya semasa detik sukar dalam kerjayanya.

“Saya hanya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyokong saya dan sentiasa berada di sisi saya walaupun saya mengalami banyak saat kejatuhan, saya sangat bertuah memiliki anda semua,” katanya.

Untuk rekod, gandingan paling berjaya Mei Xing ialah bersama dengan Anna Cheong, apabila mereka mencapai kedudukan tertinggi kerjaya pada kedudukan ke-17 dunia dan memenangi gelaran Antarabangsa Syed Modi 2022 serta Terbuka Republik Czech pada 2021.-Bernama

Mei Xing umum bersara

KUALA LUMPUR, 19 Oktober: Pemain beregu wanita kebangsaan Teoh Mei Xing mengumumkan persaraannya daripada sukan badminton kompetitif, selepas lebih sedekad