BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Oktober: Ketua jurulatih Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak memuji semangat juang pemainnya yang terus mengekalkan pendekatan menyerang meskipun terpaksa beraksi dengan 10 pemain ketika tewas 3-2 kepada DPMM FC dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Hassanal Bolkiah, malam tadi.
Beliau berkata, sikap positif yang ditunjukkan pemain selepas P. Shitembi dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-62 menjadi antara perkara positif yang boleh diambil daripada perlawanan itu, meskipun keputusan akhir tidak memihak kepada The Cats.
“Secara keseluruhan, saya fikir walaupun kami bermain dengan 10 pemain, pasukan menunjukkan sikap yang sangat positif.
“Mereka terus bergerak ke hadapan dan tidak hanya berundur untuk bertahan atau sekadar mengekalkan bentuk pertahanan, sebaliknya kami masih bermain bola sepak menyerang seperti biasa,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Aidil berkata, Kuching City berdepan detik sukar selepas insiden kad merah itu apabila DPMM FC pantas mengambil kesempatan untuk menyamakan kedudukan sebelum menjaringkan gol kemenangan.
“Selepas insiden kad merah itu, semuanya berlaku dengan pantas. Mereka menjaringkan gol menerusi sepakan percuma, kemudian beberapa minit selepas itu, ketika kami masih belum kembali stabil, mereka menjaringkan satu lagi gol,” katanya.
Mengulas perlawanan secara keseluruhan, Aidil mengakui Kuching City tidak memulakan aksi dengan baik selepas dibolosi seawal minit keenam, namun berjaya bangkit menyamakan kedudukan sebelum mendahului pada awal babak kedua.
Beliau turut memberikan penghargaan kepada DPMM FC atas keupayaan bertahan dan menyekat usaha Kuching City untuk mendapatkan keputusan lebih baik.
Kuching City mendahului 2-1 menerusi dua jaringan Dylan Wenzel-Halls pada minit ke-28 dan ke-50, sebelum DPMM FC bangkit menerusi gol A. Ali Rahman pada minit ke-64 dan Dalberto pada minit ke-67.
Kekalahan itu menyaksikan Kuching City kekal di tangga ketiga carta Liga Super dengan 12 mata daripada enam perlawanan.
Oleh Shahrul Qaizat



