
KUCHING: Pencapaian seorang anak jati Kabong yang berjaya membuka sebuah pusat perubatan U.N.I Klinik di Metrocity di Bandar Raya Kuching adalah amat membanggakan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata anak jati Kabong yang dimaksudkan itu ialah Dr. Mohd Fadzil Azuan Ghazali dan kejayaan ini adalah menjadi satu contoh serta inspirasi kepada anak muda berasal dari Kabong yang berada di perantauan.
“Kejayaan ini ini adalah satu contoh pencapaian yang amat membanggakan. Dr Mohd Fadzil Azuan bukan sahaja membawa nama baik Kabong ke bandar, malah menunjukkan semangat juang anak muda luar bandar yang mampu berjaya di peringkat lebih tinggi.
“Saya yakin kejayaan Dr Mohd Fadzil Azuan akan menjadi inspirasi kepada generasi muda di Kabong. Justeru, saya turut mengajak masyarakat setempat untuk terus menyokong dan meraikan pencapaian anak-anak Kabong yang berjaya dalam pelbagai bidang, serta berharap lebih ramai lagi akan mengikuti jejak langkah Dr Mohd Fadzil Azuan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan majlis Ramah Tamah Aidilfitri anjuran Persatuan Anak Kabong (PAK) di Dewan Akademi Latihan Kastam, Matang Jaya, hari ini.
Chee Kadir berkata beliau turut mengucapkan tahniah kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kabong di atas peningkatan Gred Purata Sekolah (GPS) daripada 5.63 mata pada 2023 kepada 5.57 mata pada 2024.
“Ini menunjukkan kemajuan yang positif dan membanggakan, lebih membanggakan lagi, peratusan kelulusan turut meningkat daripada 93.29 peratus kepada 95.08 peratus iaitu peningkatan sebanyak 1.79 peratus,” jelasnya.
Mengenai projek pembangunan di Kabong, Chee Kadir menyentuh terutamanya pembinaan Masjid Daerah Kabong berserta dengan sebuah dewan serbaguna, pembinaan Bandar Baharu Kabong (New Township), Skim Pembesaran Kampung (SPK) Kampung Hulu Fasa 1, SPK Hulu Fasa II, pembinaan Kompleks Sukan Kabong, pemasangan lampu solar Jalan Roban-Kabong selain projek-projek infrastruktur asas di Kabong.
Turut hadir Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak merangkap Pengerusi PAK, Semawi Mohamad, Setiausaha Tetap Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelabuhan, Dzolkarnain Masron, Pengurus Besar Development Coorperation, Nor-E-Fadzwie Salleh dan Pengerusi Lembaga Amanah Kebajikan Islam Kabong (LAKIK), Ulin Tabur.
Oleh Adi Safarman