Pusat astronomi RM300 juta pacu aspirasi Sarawak teroka industri angkasa

Facebook
WhatsApp
PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg (tengah) pada sesi Temu Mesra Aspirasi Anak Sarawak sempena Konvensyen Kepimpinan dan Pemerkasaan Murid Tingkatan Enam Negeri Sarawak Tahun 2026 di sebuah hotel, hari ini. Foto Adele Rissa

KUCHING, 10 November: Sarawak mahu memperluas penglibatannya dalam industri angkasa dengan merancang pembinaan pusat astronomi bernilai RM300 juta di Santubong, sekali gus meletakkan asas kepada pembangunan kepakaran dan teknologi satelit negeri.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kemudahan yang bakal dilengkapi peralatan canggih itu akan menjadi platform penting untuk memperkembangkan penyelidikan astronomi serta menyediakan tenaga pakar tempatan dalam bidang berkaitan.

Menurutnya, keupayaan menguasai teknologi angkasa bukan sekadar membuka ruang kepada kemajuan saintifik, malah memberikan peluang kepada Sarawak memanfaatkan maklumat dan data sebagai sumber strategik dalam menjana pertumbuhan ekonomi.

“Data ialah minyak baharu. Jika kita mempunyai data dan maklumat, kita boleh melakukan apa sahaja berdasarkan data tersebut, termasuk dalam sektor ekonomi,” katanya.

PESERTA Konvensyen Kepimpinan dan Pemerkasaan Murid Tingkatan Enam Negeri Sarawak Tahun 2026 yang berlangsung di Kuching, hari ini. Foto Adele Rissa

Beliau berkata demikian ketika menghadiri sesi Temu Mesra Aspirasi Anak Sarawak sempena Konvensyen Kepimpinan dan Pemerkasaan Murid Tingkatan Enam Negeri Sarawak Tahun 2026 di sebuah hotel, hari ini.

Abang Johari berkata, penguasaan teknologi berkenaan berpotensi mengangkat kedudukan Sarawak sebagai pemain dalam industri angkasa pada peringkat antarabangsa.

“Jika Sarawak mempunyai keupayaan ini, Sarawak akan menjadi pemain dunia, bukan lagi bermain di peringkat kampung,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa pengoperasian teknologi satelit memerlukan rangkaian beberapa satelit yang ditempatkan di orbit dan berfungsi secara bersepadu bagi memastikan kelancaran komunikasi serta proses pengumpulan maklumat.

Beliau turut melihat golongan murid Tingkatan Enam ketika ini sebagai antara generasi yang berpotensi mengisi keperluan tenaga profesional dalam bidang teknologi satelit apabila Sarawak mencapai sasaran pembangunannya menjelang 2030.

“Menjelang 2030, saya fikir kamu yang kini berada di Tingkatan Enam mungkin sudah menjadi jurutera. Kamulah yang akan ditempatkan untuk mendapatkan data daripada satelit dan menterjemahkannya sebagai asas kepada ekonomi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan golongan muda supaya berani meneroka bidang baharu dan membuat pertimbangan yang bijak dalam menghadapi perubahan teknologi.

“Anda perlu berpandangan jauh ke hadapan dan berani mengambil risiko, namun risiko tersebut mestilah diperhitungkan dengan teliti,” katanya.

Turut hadir Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, dan Pengarah Pendidikan, Dato Omar Mahli.

Oleh Adele Rissa