SIBU: Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), YAS Dato’ Mohammad Hamdan Wahid telah mengadakan lawatan kerja ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah semalam.
Ketibaan Hamdan di BBP Sungai Merah sekitar 11.00 pagi, disambut oleh Ketua JBPM Zon 4 Sibu, Janggan Muling.
Turut mengiringi, Timbalan Pesuruhjaya Bomba, Edwin Galan Teruki.
Lawatan tersebut antara lain bertujuan bertemu para pegawai dan ketua BBP dari kawasan Zon 4 Sibu.
Dalam ucapannya, Hamdan memberitahu, pengurusan pandemik Covid-19 negara telah mencapai tahap yang kelima terbaik di dunia.
“Ia adalah hasil tugas-tugas yang dilakukan semua yang terlibat secara profesional termasuk JBPM, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Agensi Penguatkuasaan Malaysia (APMM) dan sebagainya,” ujar beliau.
Menurutnya, JBPM adalah antara wira yang terlibat dalam mengekang penularan wabak Covid-19 di negara ini.
“Selain dipertanggungjawabkan untuk mengetuai operasi pembasmian kuman, JBPM telah melaksanakan sanitasi di tempat-tempat awam dan kawasan pusat kejadian di seluruh negara.
“JBPM turut melakukan operasi pemindahan awam termasuk para pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT), pemeriksaan keselamatan kebakaran stesen kuarantin, pengurusan jenazah serta lain-lain tugas,” ujar beliau lagi.
Beliau turut mengadakan lawatan ke tapak projek pembinaan BBP Sibujaya, sebelum berangkat ke Kuching.
Oleh Akun Giman