KUCHING: Pusat Transit Gelandangan di Sibu dijangka siap penghujung tahun ini.
Menteri Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, Dato’ Sri Fatimah Abdullah berkata, badan bukan kerajaan (NGO) yang akan mengendalikan pusat itu nanti adalah Persatuan Amal Shan Xin Malaysia Cawangan Sibu.
“Kita telah mengenalpasti lokasi gelandangan ini akan ditempatkan dan sekarang, hanya menunggu kelulusan dana daripada kerajaan negeri untuk membaik pulih tempat tersebut,” katanya pada sidang media di Bangunan Baitulmakmur, semalam.
Tambahnya, selain di Sibu pihaknya juga akan mewujudkan dua buah pusat transit ini di Kuching bagi kawasan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) yang akan dikendalikan oleh Pertubuhan Pembangunan Insan Sarawak.
“Kita bercadang membuka pusat terbabit di bandar raya Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri yang ketika ini ada bilangan golongan gelandangan yang ramai.
“Mereka (golongan gelandangan) boleh mandi, tidur di situ (pusat transit) pada malam hari dan pada siang hari mereka boleh keluar bekerja, apa sahaja kerja yang boleh mereka ceburi. Yang penting kerja itu halal dan tidak terlibat perkara boleh merosak diri sendiri,” ujarnya.
Hasil tinjauan cerapan gelandangan yang dilakukan oleh Majlis Pembangunan Sosial, Ibu Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak dan Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Kuching pada 7 Julai lalu, seramai 35 orang gelandangan dikenalpasti di Bandaraya Kuching dalam kawasan DBKU (20 orang) dan MBKS (15).
“Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), seramai 145 orang gelandangan dikenal pasti.
“Bilangan tersebut meletakkan Sarawak dikedudukan ketiga di Malaysia yang mencatatkan jumlah gelandangan teramai diselamatkan,” jelasnya.
Sebanyak 79 orang daripada jumlah tersebut telah ditempatkan di enam Pusat Penempatan Sementara Gelandangan (PPSG) seperti di Sri Aman, Sarikei, Sibu, Bintulu, Miri dan Limbang.
Kementerian juga menyumbang bantuan makanan, sleeping bag dan personal hygience kit (merangkumi keperluan asas mereka seperti berus dan ubat gigi, tuala, sabun, syampu, baldi, dan lain-lain).
Oleh Nur Ain Otsman