
KUCHING: Sebuah kereta jenis Toyota Vios musnah dalam kebakaran selepas terlibat dalam kemalangan kendiri di Taman Highfield, Jalan Batu Kawa, pagi tadi.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan.
Pegawai Bomba Kanan I (PBK I) Abdul Aziz Swandi, berkata pasukan tiba di lokasi pada 7.36 pagi dan mendapati sebuah kereta sedang marak terbakar akibat kemalangan kendiri yang berlaku kira-kira 7.34 pagi.
“Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan. Pemandu sempat keluar dari kenderaan dan menyelamatkan diri tanpa sebarang kecederaan,” katanya dalam laporan, pagi tadi.
Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran hos Salur Bantu Mula (SBM) dari pam jentera bomba sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya.
Tambahnya, pasukan bomba turut melakukan pemeriksaan keselamatan bagi memastikan keadaan selamat sebelum operasi ditamatkan pada 8.17 pagi.
Oleh Masrin Affirah