
LAWAS: Majlis Daerah Lawas diingat untuk menjaga imej Lawas sebagai daerah bersih dalam usaha menjadikannya sebagai destinasi ceria, selamat dan bersih di hujung utara Sarawak.
Pendekatan holistik dan serius perlu diberi perhatian agar penduduk dan warga bandar Lawas dapat mematuhi segala peraturan dalam menjaga kebersihan daerah Lawas.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan memberitahu, selain aspek kebersihan, sebarang ubah suai bangunan kedai tanpa kebenaran juga perlu dikawal agar aspek kebersihan dan kesejahteraan awam dapat dikawal dengan sempurna.
“Kita ini masih kecil…Lawas masih kecil tetapi sumbernya banyak. Saya tak ingin melihat ada sampah sarap kadang-kadang melimpah sampai ke jalan di kampung kadang-kadang ada yang tak dikutip bau busuk sisa pepejal kita tidak urus dengan baik.
“Ini tidak bagus sebab itu kita mahu pastikan Lawas bersih. Restoran-restoran kadangkala jamban teruk..belakang restoran dibuat atap tambahan, di pasang paip dan sanalah tempat mereka membuang sisa-sisa air, bau busuk, kalau kita ni kan berjalan teruk..sangat berbau, ” katanya pada majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis Daerah Lawas(MDL)di sebuah hotel terkemuka di Lawas hari ini.
“Jadi pihak MDL perlu memberi perhatian perkara ini dan kita juga tidak mahu berlakunya pembinaan tambahan secara berleluasa seperti cendawan tumbuh kerana ini akan menjejaskan keindahan dan memberi persepsi serong pada orang ramai,” tambahnya.
Awang Tengah juga mahu aspek kebersihan tandas awam di Pos Imigresen Mengkalab diberi perhatian serius tanpa perlu menuding jari kepada mana-mana pihak.
Semua pihak perlu bekerjasama seperti MDL, Jabatan Imigresen mahupun Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak.
Seramai 36 ahli Majlis Daerah Lawas telah mengangkat sumpah untuk sesi penggal 2025-2028 yang terdiri daripada ahli parti Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Turut hadir Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Setiausaha-setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa, Sam Laya, Residen Bahagian Limbang Haji Yunus Tambi, Pengarah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) Datu Ubaidillah Latip, Pegawai Daerah Lawas selaku Pengerusi Majlis Daerah Lawas Ladin Atok dan kenamaan tempatan lainnya.
Oleh Adeng Edrus