BINTANGOR: Prihatin, menyeluruh, dan sentiasa dekat di hati rakyat, itulah wajah sebenar kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, yang terus memperjuangkan kebajikan seluruh lapisan masyarakat, termasuk di rumah panjang kawasan pedalaman.
Meneruskan semangat tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing, telah mengadakan lawatan Pra Gawai ke rumah-rumah panjang sekitar Sungai Galan dan Sungai Baron untuk mendengar sendiri permasalahan penduduk.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa lawatan ke rumah panjang merupakan tradisi yang dipegang saban tahun, tanpa mengira saiz atau lokasi rumah panjang tersebut.
“Kerajaan Sarawak di bawah pucuk pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, sangat menitikberatkan kebajikan semua lapisan masyarakat di negeri ini.
“Setiap tahun, saya pasti akan turun ke setiap rumah panjang, kerana inilah masa terbaik untuk melihat sendiri keadaan penduduk dan mendengar permasalahan mereka secara langsung,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa kerajaan Sarawak komited menyalurkan pelbagai inisiatif untuk membantu rakyat.
“Antaranya termasuklah Kenyalang Gold Card, Bantuan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), Program Faedah Kesihatan Warga Emas Sarawak (SCHB), Bantuan Ibu Bersalin (BIB), dan Kumpulan Wang Wakaf Sarawak (EFS).
“Kabinet Sarawak juga telah meluluskan kertas cadangan untuk pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES).
“Institusi yang terlibat termasuklah Universiti Teknologi Swinburne Sarawak, Universiti Curtin Malaysia, Universiti Teknologi Sarawak (UTS), dan Kolej Universiti i-CATS,” katanya ketika berucap semasa lawatan tersebut, semalam.
Katanya, skim tersebut menyediakan yuran pengajian percuma.
“Selain itu, elaun sebanyak RM15,000 setahun turut disediakan kepada pelajar daripada isi rumah dengan pendapatan per kapita RM1,500 sebulan.
“Saya menyeru agar penduduk rumah panjang sentiasa bersyukur dan menghargai usaha kerajaan negeri yang prihatin terhadap kebajikan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya.
Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bintangor Chieng Boung Ong, Setiausaha SUPP Cawangan Bintangor Lau Sie Hing, Bendahari SUPP Cawangan Bintango Lee Ngin Soon, dan Kapitan Wong Leh Hee.
Oleh Earl Anek