KUALA LUMPUR, 2 November: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Petronas Carigali Sdn Bhd, memeterai Perjanjian Farm-out (FOA) dengan rakan kongsi usaha samanya bagi medan gas SK410B Lang Lebah dan B14 yang terletak di luar pesisir Sarawak.
Rakan kongsi usaha sama berkenaan terdiri daripada TotalEnergies, Kuwait Foreign Petroleum Exploration Company (KUFPEC) dan PTT Exploration and Production (PTTEP).
Perjanjian itu bertujuan menggalakkan pembangunan sumber gas secara lebih bersepadu bagi kedua-dua medan berkenaan, yang masing-masing terletak di bawah Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) SK410B dan PSC B14.
Selepas perjanjian itu dimuktamadkan, TotalEnergies akan mengambil alih peranan sebagai operator bagi kedua-dua medan gas berkenaan.
“Langkah pembangunan bersepadu itu dijangka membolehkan penyelarasan yang lebih baik antara kedua-dua medan, sekali gus mengoptimumkan perancangan infrastruktur dan pembangunan kemudahan, serta memaksimumkan nilai sumber. Langkah ini juga dijangka meningkatkan kecekapan projek dan mewujudkan nilai jangka panjang untuk Sarawak dan Malaysia,” menurut Petronas dalam kenyataan hari ini.
Menurut Petronas, perjanjian FOA itu merupakan pencapaian penting dalam usaha merealisasikan nilai sumber gas di medan SK410B Lang Lebah dan B14.
“Dengan menyelaraskan tanggungjawab pengendalian dan perancangan pembangunan bagi kedua-dua PSC, pihak yang terlibat dalam usaha sama itu berada pada kedudukan lebih baik untuk mengoptimumkan sumber, meningkatkan kecekapan pelaksanaan serta mempercepat penyempurnaan projek,” menurut kenyataan itu.
Selepas perjanjian FOA dimuktamadkan, kepentingan penyertaan dalam setiap PSC akan dipegang oleh TotalEnergies sebanyak 30 peratus selaku operator, PTTEP (25 peratus), KUFPEC (25 peratus) dan Petronas Carigali (20 peratus).
Penyempurnaan perjanjian FOA itu masih tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa kawal selia yang berkaitan.
Majlis pemeteraian perjanjian FOA itu berlangsung pada 1 Nov 2026 di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu, bersempena dengan Pameran dan Persidangan Petroleum Antarabangsa Abu Dhabi (ADIPEC) 2026, antara perhimpunan utama industri tenaga dunia.
“Kerjasama strategik ini mencerminkan komitmen berterusan Petronas untuk membangunkan sumber gas Malaysia secara bertanggungjawab, menyokong keselamatan tenaga jangka panjang dan mewujudkan nilai mampan kepada industri tenaga Malaysia serta pihak berkepentingannya,” menurut kenyataan itu. – Bernama





