Rosakkan lima mesin bank guna parang, lelaki direman enam hari

Facebook
WhatsApp
SUSPEK direman selama enam hari bermula semalam. Foto IPD Sarikei

SARIKEI, 3 November: Lelaki berusia 38 tahun yang disyaki merosakkan lima mesin perbankan menggunakan parang sebelum mencederakan seorang lelaki dalam kejadian di Jalan Masjid Lama pada kelmarin direman selama enam hari bermula semalam.

Ketua Polis Daerah (KPD) Sarikei, Superintendan Aswandy Anis mengesahkan perintah reman terhadap suspek bagi membantu siasatan berhubung kejadian khianat dan mendatangkan kecederaan parah.

Katanya, suspek merupakan lelaki tempatan yang sebelum ini menyerah diri di Balai Polis Sarikei selepas kejadian berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira 12.05 tengah malam pada 1 November lalu, suspek dipercayai bertindak merosakkan dua mesin juruwang automatik (ATM), dua mesin deposit tunai (CDM) dan sebuah mesin deposit cek di salah sebuah bank, Jalan Masjid Lama.

Siasatan awal polis mendapati suspek dipercayai bertindak sedemikian kerana berang selepas gagal mengeluarkan wang daripada mesin ATM.

Suspek kemudian dipercayai melarikan diri menggunakan sebuah Toyota Hilux yang dipandu melawan arus sebelum melanggar pembahagi jalan di Jalan Masjid Lama.

Dalam kejadian berasingan di lokasi berhampiran, seorang lelaki berusia 21 tahun mengalami kecederaan parah pada tangan kiri selepas dipercayai dilibas menggunakan parang ketika cuba menahan suspek.

Mangsa dibawa ke Hospital Sarikei untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Polis turut merampas sebuah Toyota Hilux dan sebilah parang yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.

Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif ketamin dan benzodiazepin, manakala semakan polis mendapati lelaki tersebut tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 427 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan, Seksyen 45(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Oleh Earl Anek