
MIRI: Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man mengalu-alukan mana-mana organisasi, institusi pendidikan mahupun persatuan di sini yang ingin mengunjungi Parlimen semasa persidangan berlangsung.
Beliau berkata, lawatan ke Parlimen membuka peluang kepada rakyat untuk memahami proses penggubalan dasar, peranan wakil rakyat serta keunikan sistem demokrasi berparlimen di Malaysia.
“Dengan melihat sendiri perjalanan sidang Dewan Rakyat dan suasana kerja ahli-ahli Parlimen, lawatan seperti ini mampu menyemai kefahaman, meningkatkan minat terhadap hal ehwal negara, serta memupuk rasa tanggungjawab sivik.
“Saya percaya bahawa pendedahan secara langsung kepada proses demokrasi ini dapat menyuburkan kesedaran politik yang sihat dan memperkasakan rakyat dalam menyuarakan pandangan mereka secara lebih berinformasi dan berstruktur,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa menerima kunjungan hormat daripada Persatuan Wartawan Utara Sarawak hari ini bagi membincangkan cadangan lawatan persatuan itu ke Parlimen Malaysia yang dijadualkan pada hujung tahun ini.
Justeru itu, pejabatnya bersedia untuk membantu dari segi penyelarasan dan komunikasi dengan pihak pentadbiran Parlimen.
“Tahun lalu, saya turut membantu beberapa rombongan pelajar dan sekolah dari Miri yang mengadakan lawatan sambil belajar ke universiti di Lembah Klang dengan memasukkan sesi lawatan ke Parlimen sebagai sebahagian daripada pengalaman mereka.
“Parlimen ialah institusi tertinggi demokrasi di negara ini dan merupakan milik rakyat.
“Maka, menjadi tanggungjawab kita untuk mendekatkan Parlimen kepada masyarakat, terutama generasi muda dan pengamal media tempatan seperti Persatuan Wartawan.
“Inilah aspirasi Yang di-Pertua Dewan Rakyat yang komited untuk menjadikan Parlimen sebagai rumah rakyat yang terbuka dan inklusif,” katanya.
Oleh Liong Chai Ling