
BINTULU: Gereja The Church of God Bintulu bakal menikmati kemudahan parkir yang lebih luas dan selesa menerusi projek naik taraf yang akan dilaksanakan di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, projek berkenaan akan dilaksanakan di bawah inisiatif Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) sebagai usaha meningkatkan kemudahan asas untuk komuniti setempat.
“Lawatan kerja saya ke gereja baru-baru ini mendapati bahawa terdapat kekurangan parkir kenderaan menyebabkan kesulitan kepada para penganut terutamanya ketika menghadiri sesi sembahyang dan program kerohanian,” katanya.
Menurut beliau, pihaknya komited untuk memastikan projek tersebut dilaksanakan dengan segera demi kesejahteraan penganut.
“Saya diberitahu bahawa projek ini nanti mampu memuatkan sekitar 100 kenderaan dalam satu-satu masa, sekali gus menyelesaikan isu kesesakan yang kerap berlaku sebelum ini,” ujarnya.
Difahamkan, kemudahan baharu itu bukan sahaja akan menjamin keselamatan kenderaan tetapi juga memberi keselesaan kepada penganut dalam menjalankan aktiviti keagamaan mereka dari semasa ke semasa.
Oleh Carolyne Utih