APM Betong musnahkan sarang tebuan tanah di kebun penduduk Rian Batang

Facebook
WhatsApp
TINDAKAN pantas APM Betong berjaya menghapuskan sarang tebuan tanah di kawasan kebun milik seorang penduduk di Rian Batang. Foto APM Betong

BETONG, 12 November: Tindakan pantas Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Betong berjaya menghapuskan ancaman sarang tebuan tanah di kawasan kebun milik seorang penduduk di Rian Batang, di sini, malam tadi.

Menurut kenyataan APM Daerah Betong, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam yang memaklumkan mengenai penemuan sarang tebuan tanah di kawasan kebun berkenaan.

Susulan aduan itu, seramai tiga anggota APM Betong digerakkan ke lokasi pada 7.50 malam bagi menjalankan pemeriksaan serta tindakan pemusnahan bagi mengelakkan risiko keselamatan kepada pengadu dan penduduk sekitar.

Pasukan operasi tiba di lokasi pada 8.05 malam sebelum melaksanakan pemantauan dan penilaian keselamatan bagi memastikan tindakan pemusnahan dapat dilakukan dengan selamat.

Hasil pemeriksaan mendapati sarang tebuan tanah berkenaan berukuran kira-kira sebesar sebuah tong sampah hitam bersaiz kecil.

Anggota APM kemudian mengambil tindakan memusnahkan sarang tersebut menggunakan teknik pembakaran bagi menghapuskan ancaman yang boleh membahayakan orang awam.

Operasi pemusnahan itu berjaya diselesaikan sepenuhnya pada 8.15 malam tanpa sebarang kejadian tidak diingini dilaporkan.

APM Daerah Betong dalam kenyataan sama menegaskan komitmennya untuk terus memberikan perkhidmatan bantuan kecemasan kepada masyarakat, selain memastikan keselamatan dan kesejahteraan orang awam sentiasa terpelihara.

Oleh Adi Safarman