MUKAH, 12 November: Seramai lapan usahawan B40 mendapat manfaat melalui bantuan peralatan jualan yang disampaikan pada Sesi Serahan Peralatan Program Sejati MADANI, hari ini.
Pegawai Daerah Mukah, Peleadzman Ahip berkata program ini merupakan inisiatif untuk membantu usahawan tempatan meningkatkan pendapatan serta keadaan ekonomi isi rumah.
“Berlandaskan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030, kita nak meningkatkan pendapatan isi rumah sebanyak RM15,000 dalam sebulan.

“Program Sejahtera Madani ini diperkenalkan agar masyarakat yang menceburi bidang perniagaan dapat meningkatkan taraf ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyerahan Peralatan Perniagaan di bawah Program Sejati MADANI @ Usahawan B40 bertempat di Pejabat Daerah Mukah.
Tambah beliau, para penerima inisiatif hari ini merupakan penerima pertama di Sarawak di bawah Program Sejati Madani ini.


Sementara itu, Razman Yusuf, 43 berkata bantuan peralatan daripada program sejati madani ini memberikan kelegaan khususnya dalam membantu perniagaan miliknya.
“Saya berasa bersyukur dan gembira untuk bantuan yang diberikan kerana ia amat memudahkan kami sebagai peniaga,” katanya.
Peniaga di Medan Selera kampung Matadeng ini turut berkata peralatan yang diberikan dapat menjimatkan kos perbelanjaan sebagai peniaga.

Dalam pada itu, Chuat Sunang, 57 berkata bantuan yang diberikan oleh kerajaan Madani dapat meringankan beban yang dihadapi.
“Sebagai peniaga kecil-kecilan, saya amat gembira dengan inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan dalam membantu kami.
“Sebenarnya, inisiatif ini sangat membantu memandangkan saya berniaga pelbagai jenis barangan,” katanya.

Chuat yang merupakan peniaga barangan basah seperti ayam,ikan dan sayur-sayuran serta makanan panggang menyifatkan inisiatif ini meringankan beban masyarakat khususnya para peniaga.
Di samping itu, Nagi Jammbe, 50 berkata bantuan ini sangat membantu dalam meluaskan lagi jenis jualan di gerainya.
“Bantuan ini sangat bernilai kepada para peniaga kerana ia dapat membantu meningkatkan lagi pendapatan dari segi jualan,” katanya.

Tegasnya lagi, peruntukan ini memudahkan tugas kami kerana dapat mengurangkan kos perbelanjaan untuk membeli peralatan lain.
Inisiatif ini turut diterima oleh Chia Usit, Ferri Sumbang, Kayah Buda, Kedaya Unau dan Retina Ngumbang.
Turut dihadiri, Ketua Penolong Pengarah, Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak Sibu, Unit Penyelarasan Pelaksanaan ICU JPM Sarawak, Norfitri Amin.
Oleh Adibfahmy




