KUCHING, 12 November: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) menggalakkan penduduk sekitar Bintawa dan kawasan berhampiran terus berkunjung ke Pasar Bintawa bagi menyokong peniaga kecil yang mencari rezeki di situ.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng bersama barisan ahli majlis turun padang bertemu peniaga dan memeriahkan sambutan ulang tahun kedua pasar berkenaan selepas dinaik taraf pada 11 November 2024.
Kerja-kerja menaik taraf yang dilaksanakan MBKS bertujuan menambah baik kemudahan perniagaan untuk peniaga, selain menyediakan suasana lebih selesa kepada pengunjung.
Sehubungan itu, MBKS berharap kemudahan yang telah ditambah baik dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk, sekali gus membantu meningkatkan peluang perniagaan dan pendapatan peniaga.
Pasar Bintawa menawarkan pelbagai barangan keperluan harian termasuk sayur-sayuran segar, daging, ikan dan barangan basah lain.
Selain itu, gerai makanan di pasar berkenaan turut menyediakan pelbagai hidangan tempatan untuk pengunjung.
Penduduk boleh mengunjungi pasar itu untuk bersarapan, mendapatkan bahan masakan bagi hidangan harian atau membeli makanan untuk dibawa pulang.
Sambutan ulang tahun kedua itu turut memberi peluang kepada Dato Wee dan ahli majlis beramah mesra dengan peniaga serta menghargai usaha mereka dalam menyediakan keperluan harian kepada masyarakat.
Peniaga di pasar berkenaan bukan sahaja memenuhi keperluan penduduk, malah gerai makanan turut menjadi tempat masyarakat setempat berkumpul, menikmati hidangan dan berinteraksi.
Dato Wee menggalakkan penduduk Bintawa dan kawasan sekitarnya menjadikan Pasar Bintawa sebagai antara pilihan utama untuk mendapatkan barangan keperluan serta menikmati makanan tempatan.
Penduduk yang datang membeli barangan dapur juga digalakkan mencuba hidangan di gerai makanan, manakala pengunjung yang bersarapan boleh mengambil peluang membeli hasil segar untuk dibawa pulang.
Beliau turut menggalakkan orang ramai membawa ahli keluarga dan rakan-rakan berkunjung ke pasar berkenaan bagi memperkenalkan lebih ramai pengunjung kepada pilihan barangan serta makanan yang ditawarkan.
Sokongan berterusan pelanggan amat bermakna kepada peniaga kecil kerana kunjungan dan pembelian orang ramai dapat membantu memastikan perniagaan mereka terus berkembang.
Oleh Shikin Mahmud





