KUCHING: Sebuah rumah di Jalan Kampung Bintawa Hulu terlibat dalam satu kebakaran di sini, petang tadi.
Jurucakap Pasukan Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung insiden pada 6.52 petang.
Bertindak atas laporan, sepasukan 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan operasi memadamkan kebakaran.
“Setibanya di lokasi, Komander Operasi memaklumkan kebakaran melibatkan dua bilik berkeluasan 20×20 kaki persegi di tingkat atas sebuah rumah jenis separuh kekal dua tingkat.
“Kebakaran tersebut telah berjaya dipadamkan oleh penghuni rumah sebelum ketibaan pihak bomba.
“Kebakaran dianggarkan menjejaskan 30 peratus rumah tersebut dan melibatkan perabot dan perkakas elektrik, iaitu pendingin hawa,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, anggota bomba kemudian memeriksa keselamatan lokasi dan memastikan kebakaran telah padam sepenuhnya.
Kebakaran tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa manakala punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.
Oleh Amanda L.