DUN: Pembangunan Tanjung Embang bermula awal tahun depan

Facebook
WhatsApp
PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika menyentuh pembangunan Tanjung Embang yang dijangka bermula awal tahun depan pada hari terakhir Persidangan DUN Sarawak Ke-19. Foto Ukas

PETRA JAYA, 21 Oktober: Pembangunan fizikal Tanjung Embang dijangka bermula awal tahun depan, dengan kawasan itu dirancang sebagai pusat pertumbuhan ekonomi baharu di Kuching yang berteraskan industri bernilai tinggi.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembangunan kawasan itu akan disokong oleh infrastruktur strategik, termasuk Pelabuhan Laut Dalam Kuching, taman perindustrian dan terminal gas asli cecair (LNG).

TERMINAL LNG Kuching yang dibangunkan menerusi Perjanjian Pembangunan Bersama antara PETROS dengan Höegh Evi sebagai sebahagian daripada Hab Rendah Karbon Kuching.

Menurutnya, Tanjung Embang berpotensi menarik pelaburan dalam sektor kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, pemprosesan makanan dan jentera pintar.

Bagi menyokong penggunaan gas secara lebih strategik di Sarawak, Petros telah memeterai Perjanjian Pembangunan Bersama dengan Höegh Evi untuk membangunkan Terminal LNG Kuching sebagai sebahagian daripada Hab Rendah Karbon Kuching.

EKOSISTEM Hab Rendah Karbon Kuching yang merangkumi pelabuhan laut dalam Kuching, taman perindustrian dan Terminal LNG Kuching, bagi menyokong pembangunan industri bernilai tinggi seperti kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, pemprosesan makanan dan jentera pintar.

Terminal yang dicadangkan itu bakal menjadi kemudahan penggasan semula LNG pertama di Sarawak, sekali gus membekalkan gas kepada Kuching dan kawasan sekitarnya.

Abang Johari berkata, pembangunan terminal itu, bersama-sama dengan penerokaan sumber gas luar pesisir di Sarawak Barat, akan memperkukuh bekalan gas jangka panjang bagi penjanaan tenaga elektrik dan aktiviti perindustrian di wilayah selatan.

PELABUHAN laut dalam Kuching di Tanjung Embang yang pembangunan fizikalnya dijangka bermula awal tahun depan bagi menyokong pertumbuhan industri dan ekonomi di Sarawak.

Dalam pada itu, cadangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching baharu dengan kapasiti awal 15 juta penumpang setahun turut menjadi sebahagian daripada perancangan pembangunan ekosistem Tanjung Embang.

Lapangan terbang itu dijangka memperkukuh hubungan udara pada peringkat serantau dan antarabangsa, selain meningkatkan pergerakan penumpang serta kargo bagi menyokong sektor pelancongan, perdagangan dan pelaburan.

ILUSTRASI cadangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching baharu yang dirancang dengan kapasiti awal 15 juta penumpang setahun bagi memperkukuh hubungan udara serantau dan antarabangsa.

Bagi menyelaras pelaksanaan projek di kawasan itu, satu pasukan petugas khas yang melibatkan agensi kerajaan dan pihak berkuasa berkaitan telah ditubuhkan.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19.

Oleh Afiq Sallehi