
MESKIPUN kehadiran bakat baharu terus mewarnai industri seni tanah air, ia sedikitpun tidak menggugat mata pencarian pelakon veteran Jalil Hamid yang kini terus mendapat permintaan daripada produksi filem dan drama tempatan untuk mengambilnya berlakon.
Pelakon filem Bisik Pada Langit ini antara pelakon lama yang berjaya membuktikan bahawa bakat dan pengalaman tetap berharga dan dihargai dalam industri.
Memasuki dunia seni 45 tahun lalu, pelakon yang turut dikenali sebagai pelawak dan penyanyi ini bersyukur pada usia 68 tahun dia masih menerima pelbagai tawaran berlakon drama dan telefilem, filem serta iklan selain diberi kepercayaan untuk membawakan watak utama.

“Alhamdulillah, saya masih mendapat tawaran, tetapi tidaklah terlampau banyak, cuma tidak putus. Seronok apabila masih ada yang nampak bakat saya, dalam bidang kesukaan saya ini.
“Raya tahun ini, saya berpeluang membintangi tiga iklan raya dan sebuah drama arahan Rashid Sibir. Saya juga akan muncul sebagai antara watak utama dalam sebuah filem seram, Laknat, yang akan berada di pawagam pada Jun nanti,” katanya.
Pernah memenangi pelbagai anugerah utama sepanjang kariernya dalam bidang lakon, Jalil yang dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-13 ini berkata dia kini terpaksa mengehadkan tawaran yang diterima dan memilih watak yang bersesuaian dengan usianya.
“Kalau naskhah yang berat seperti cerita hantu, saya sudah tidak lagi ambil. Sekarang lebih selesa untuk menjayakan watak orang tua seperti ayah.
“Selain itu, jika ada tawaran yang tidak setimpal (bayaran) juga, saya akan tolak secara baik. Walaupun kita tua, tidak boleh ambil kesempatan, bayaran itu perlu setimpal dengan pengalaman berada dalam industri,” katanya, sambil menambah bahawa selagi ada permintaan, dia akan terus berkarya.
Ditanya mengenai faktor dia terus bertahan di dalam industri, Jalil yang berasal dari Masai, Johor berkata disiplin kerja yang tinggi penting bagi memastikan dapat menghasilkan kualiti kerja terbaik.
“Kami orang-orang lama ini, jika dapat sesuatu watak, kami akan buat yang terbaik sehingga setiap yang menonton terasa impaknya. Kalau bersungguh, barulah hasilnya berkualiti.”
“Saya juga sangat menitikberatkan disiplin, sentiasa hadir ke lokasi penggambaran awal dan mengkaji watak. Selain itu, mungkin saya juga tidak demand dan mudah untuk bekerja, bergantunglah pada mereka yang menilai,” katanya.
Selain ingin terus kekal di dalam dunia lakonan, penyanyi yang popular dengan beberapa lagu antaranya Ayam, Makan, Mata dan Raya ini turut mengimpikan untuk kembali mewarnai dunia nyanyian melalui lagu baharu satu masa nanti.
Menurutnya, dia berehat seketika daripada nyanyian berikutan masalah kesihatan yang dihadapinya.
“Saya tidak pernah berhenti menyanyi, cuma sebelum ini berehat sekejap kerana faktor kesihatan. Sejujurnya, saya rindu sangat mahu membuat persembahan di pentas dan berharap dapat kembali menghiburkan peminat.
“Menyanyi ini memang passion saya, tetapi sekarang lebih banyak tawaran berlakon. Kalau dapat tawaran, saya akan ambil,” katanya. – Bernama